suria

Pelancong Sweden terpikat program inap desa di Malaysia

STOCKHOLM: Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berjaya memikat hati para penggiat sektor pelancongan Sweden yang menghadiri majlis jamuan tengah hari di sebuah hotel di sini pada Isnin melalui program inap desa yang wujud di Malaysia.

Pengusaha pelancongan, petugas media dan para pegawai syarikat penerbangan terkemuka juga amat kagum dengan penerangan beliau tentang "Malaysia Truly Asia" selama sejam, yang bermula dengan tayangan video mengenai pemandangan indah serta gaya kehidupan penuh santai yang jauh daripada hiruk-pikuk kota raya yang wujud di Malaysia.

Kebanyakan mereka juga menyatakan kesediaan untuk mempromosikan keistimewaan program inap desa Malaysia sebagai produk pelancongan yang memiliki kelebihan tersendiri.

"Saya kagum dengan persembahan beliau yang sungguh bermaklumat. Beliau (Dr Ng) begitu praktikal dan ini menunjukkan Malaysia benar-benar serius untuk menarik pelancong Sweden," kata Christina Chuck, pengurus besar Far East Travel Service kepada Bernama.

Mulai tahun depan, agensi pelancongan beliau akan memasarkan pakej inap desa Malaysia yang disusun khusus bagi warga Sweden dalam lingkungan usia 17 hingga 35 tahun.

"Kami telah memasarkan Malaysia sejak dua tahun lepas, tapi sebahagian besarnya bagi golongan berada yang berusia 40 tahun ke atas. Kini, kami cuba memikat golongan lebih muda, yang mencari keseronokan melalui pengembaraan serta pengalaman daripada pembelajaran dan kebudayaan," katanya.

Chuck berkata secara purata, setiap pelancong Sweden akan meluangkan masa dua minggu di Malaysia dan membelanjakan RM10,000.

"Orang Sweden merupakan pelancong yang tidak lokek berbelanja dan mereka tahu apa yang mereka mahu. Mereka sanggup berbelanja besar bagi menikmati keistimewaan sesuatu budaya dan mendapat perkhidmatan berkualiti tinggi," katanya.

Chuck, yang kali terakhir mengunjungi Malaysia pada 2007, berkata beliau yakin Malaysia memiliki kelebihan daya saing berbanding jirannya kerana negara berkenaan memiliki, antara lain, hutan hujan yang terkenal, Taman Negara Mulu yang diisytihar oleh Unesco sebagai Tapak Warisan Dunia serta Sipadan yang dianggap syurga bagi kegiatan menyelam oleh penyelam dari seluruh dunia.

Katanya kesedaran tentang isu alam sekitar dalam kalangan masyarakat Barat juga merupakan antara faktor penting yang mampu menarik minat lebih banyak pelancong Sweden melawat Malaysia.

Gisle Dueland, pengurus pemasaran Turkish Airlines yang berpejabat di sini berkata program inap desa boleh menjadi antara tarikan utama pelancong ke Malaysia.

Sebagai seorang yang gemar melancong, Dueland berkata beliau berpendapat program inap desa menawarkan keistimewaan sebenar dalam bidang pelancongan kerana ia menyediakan pengalaman kehidupan sebenar bagi pelancong serta membolehkan mereka memahami dengan lebih mendalam keadaan sesuatu tempat.

Katanya Malaysia memiliki prospek cerah untuk dianggap sebagai destinasi baru yang masih belum banyak terusik oleh warga Sweden.

"Saya berpendapat bahawa kedudukannya yang kurang dikenali serta keunikan yang dimilikinya akan memikat hati warga Sweden untuk menganggap Malaysia sebagai destinasi serba baru, daripada mereka terusmenerus berkunjung ke Thailand atau Singapura," katanya.

Turkish Airlines dan Malaysia Airlines (MAs) menjalin pakatan perkongsian kod pada tahun ini bagi sektor Stockholm-Istanbul-Kuala Lumpur.

Dueland berkata beliau yakin melalui promosi yang dibuat oleh Tourism Malaysia serta sekutunya di Sweden, jumlah penumpang bagi sektor itu akan bertambah.

Dr Ng berkata 146 kampung menyertai program inap desa di bawah Tourism Malaysia.

"Saya sentiasa yakin bahawa apa jua yang kita lakukan, pelancongan mestilah juga memberi manfaat daripada segi ekonomi kepada penduduk luar bandar, tanpa merosakkan alam sekitar dan paling penting, nilai estetika kehidupan di desa," katanya.

Dr Ng berkata beliau juga mengadakan perbincangan dengan bebarapa syarikat penerbangan terkemuka bagi membawa lebih banyak pelancong Sweden ke Malaysia selepas MAS menghentikan perkhidmatan terusnya dari Kuala Lumpur ke Stockholm bulan lepas.

"Kami bercadang meneroka pakej dua dalam satu bersama pengusaha pelancongan dan syarikat penerbangan lain yang akan menjadikan Malaysia destinasi kedua bagi pelancong Sweden selepas bandar raya lain yang mereka lawati seperti Bangkok, Singapura atau Dubai," katanya. BERNAMA

Artikel Lain