suria

Lebih 100 pengemis ditangkap di sekitar tanah suci

MEKAH: Pihak berkuasa Arab Saudi menahan sekurang-kurangnya 111 pengemis dan penjaja jalanan berusia bawah 18 tahun di sekitar bandar raya ini menjelang bermulanya ibadah haji bulan depan, lapor akhbar The Arab News.

Kanak-kanak lelaki dan perempuan itu ditahan sekumpulan pegawai majlis perbandaran yang ditugaskan menangani masalah berkenaan. Pasukan itu berkata kebanyakan kanak-kanak yang ditahan adalah warga asing.

Akhbar itu memetik Mansour Al-Hazmi, pengarah Pejabat Wilayah Mekah Bagi Membanteras Pengemis sebagai berkata bahawa kanak-kanak terbabit akan ditempatkan selama 21 hari di sebuah pusat perlindungan kanak-kanak bagi membolehkan prosedur sewajarnya berkaitan mereka diselesaikan.

"Ibu bapa mereka yang merupakan penduduk sah akan dikenakan denda SR5,000 dan mereka yang tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan pula akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk dihantar pulang ke negara asal," katanya.

Al-Hazmi berkata kanak-kanak berkenaan disediakan tempat tinggal, makanan dan hiburan serta diwajibkan mengikuti kelas kefahaman agama dan budaya oleh pakar dan pekerja sosial. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain