suria

Tinggal sebatang kara menunggu mayat keluarga dikebumikan

PADANG: Walaupun sudah hampir seminggu kejadian tanah runtuh di kampungnya akibat gempa bumi kuat Rabu lepas, Nofaldi Adi, 29, masih berharap anggota keluarganya dapat ditemui.

Hampir setiap hari beliau akan bangun seawal pagi dan terus ke kawasan tanah runtuh yang melenyapkan Kampung Lubuk Laweh, Kecamatan Patamuan, Padang Pariaman di sini.

Beliau juga cukup maklum sekiranya enam anggota keluarganya itu dapat ditemui, hanya mayat yang dapat dikeluarkan.

"Saya redha kini saya tinggal keseorangan, sudah sebatang kara, semua famili saya tertimbus dalam runtuhan itu.

"Apa yang tinggal sekarang hanya perlu menunggu mayat mereka dikeluarkan kerana saya ingin kebumikan mereka dengan sempurna," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Kejadian gempa bumi pada petang Rabu itu menyebabkan keseluruhan Bukit Tandike setinggi 50 meter yang merentang sepanjang tiga kilometer menelan kira-kira 50 rumah di kampung itu.

Difahamkan 25 orang penduduk berjaya menyelamatkan diri dan lebih 100 lagi belum ditemui.

Ketika kejadian Nofaldi sedang tidur di rumahnya yang terletak agak jauh dari kawasan tanah runtuh, manakala seluruh anggota keluarganya termasuk ibu, bapa, adik perempuan dan anak saudaranya berada di sebuah gerai makan untuk menonton televisyen.

"Saya dibangunkan gempa, terus bangun keluar dari rumah dan tanahnya langsung gelongsor...begitu pantas. Bunyinya juga tidak bisa (dapat) dibayanginya (digambarkan)," katanya.

Menurut seorang lagi penduduk, Buyung Anam Roslan, 43, seorang anak saudaranya yang dikenali sebagai Neneng juga kini menjadi yatim piatu apabila kedua ibu bapanya tertimbus dalam kejadian tanah runtuh itu.

"Neneng terselamat dan berjaya dikeluarkan dari timbusan tanah. Ketika penduduk mengeluarkannya seluruh tubuhnya disaluti tanah namun tidak cedera...barangkali malaikat yang bawain (membawanya) ke atas," katanya.

Buyung berkata mayat ibu bapa Neneng juga belum ditemui dan beliau akan memelihara anak saudaranya itu seperti anak kandungnya sendiri.

Menceritakan kejadian gempa itu, buruh tukang yang berasal dari Daerah Galoro di sini itu, berkata bumi seolaholah bergoncang dan tanah seperti bergolak.

"Air di dalam kolah juga seperti menggelegak, begitu dasyat sekali," katanya.

Beliau juga berharap lebih banyak lagi bantuan dari segi makanan dan minuman diberikan kepada mereka di samping bantuan perubatan dan pakaian. BERNAMA

Artikel Lain