suria

Kerajaan setuju teruskan Kursi Pengajian Melayu di University Victoria of Wellington

WELLINGTON: Kerajaan Malaysia bersetuju untuk meneruskan Kursi Pengajian Melayu di University Victoria of Wellington, New Zealand dan berharap langkah itu akan turut meliputi aspek lain selain daripada bahasa Melayu.

Ke arah ini, Memorandum Perjanjian (MoA) dimeterai di sini hari ini antara Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Kementerian Pelajaran New Zealand dan Victoria University berkaitan Kursi Pengajian Melayu di sini hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Dr Zulkefli A Hassan mewakili Malaysia dan Setiausaha Pelajaran New Zealand Karen Seawell menandatangani bagi pihak kerajaan New Zealand manakala Naib Canselor Victoria University Prof Pat Walsh pula menandatangani bagi pihak universiti berkenaan.

Zulkefli berkata kerajaan Malaysia bersetuju untuk memperbaharui kontrak Kursi Pengajian Melayu yang berakhir pada Disember berikutan kesan positif yang diterima sejak penubuhannya pada 1996.

Beliau berkata kerajaan berharap skop Kursi itu akan diperluaskan untuk meliputi bukan sahaja bahasa Melayu, malah turut merangkumi kepentingan lain membabitkan Malaysia, misalnya ekonomi dan politik.

Sementara itu, Walsh berkata Kursi Pengajian Melayu telah meningkatkan kerjasama antara universiti itu dan Malaysia selain banyak memberi sumbangan ke arah pemahaman terhadap Islam dan budaya masyarakat Islam.

"Kami berharap untuk memperkukuhkan lagi hubungan dengan Malaysia di masa depan," katanya.

Walsh berkata jumlah warga Malaysia yang melanjutkan pelajaran ke Victoria telah meningkat empat kali ganda sejak sedekad yang lepas dan mereka menyumbangkan kepada kepelbagaian budaya dalam kehidupan di kampus.

Pelajar Malaysia mengikuti pengajian di New Zealand sejak 1950 apabila Pelan Colombo diperkenalkan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Burj Dubai siap 2009 ikut jadual

Artikel Lain