suria

Peniaga selamat selepas terhumban ke dalam kolam renang

PADANG: Seorang ahli perniagaan bagaikan tidak percaya beliau terselamat walaupun hotel yang didiaminya runtuh menyebabkan beliau terhumban ke kolam renang semasa gempa bumi melanda kota Sumatera Barat ini dua hari lepas.

Wong Lee Kwong, 52, yang masih lesu ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau dekat sini, berkata beliau baru setengah jam mendaftar masuk ke Hotel Ambacang apabila gegaran berlaku.

"Saya bersiap-siap untuk mandi dengan hanya memakai tuala, secara tiba-tiba bangunan hotel bergegar dan senget ke kiri lalu runtuh menyebabkan saya terhumban ke dalam kolam renang," katanya yang ketika kejadian berada di tingkat empat hotel itu.

Menceritakan pengalaman cemasnya itu, Wong yang calar di belakang badan akibat ditimpa konkrit, berkata beliau keluar dari kolam renang itu dalam keadaan berbogel untuk menyelamatkan diri sebelum diselamatkan seorang pekerja hotel yang memberikannya pakaian.

Beliau berkata dalam keadaan kelam kabut dan riuh rendah dengan jeritan orang ramai, beliau dibawa petugas hotel ke kawasan lapang berdekatan hotel penginapannya.

"Nasib baik ada orang tolong kalau tidak saya tak tahu apa jadi pada saya," katanya yang bersyukur dibenar pulang ke Malaysia dengan penerbangan ehsan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pagi tadi.

Satu keluarga yang sedang bercuti di daerah itu turut menceritakan detik-detik cemas semasa gempa berukuran 7.6 pada Skala Richter itu.

Badrulamin Mohd Sharif, 30, dari Kuala Lumpur berkata beliau dan enam orang anggota keluarga (dua anak perempuan, isteri, ibu mertua dan dua adik ipar perempuan) bercuti di daerah itu sejak Khamis minggu lepas.

"Ketika sedang membeli-belah di Kompleks Pasar Bukit Tinggi, secara tiba-tiba bangunan itu bergegar dan kelihatan orang ramai lari keluar dan menjerit gempa," katanya.

Cemas melihat kejadian itu, beliau membawa semua anggota keluarganya bergegas keluar dari kompleks itu dan melihat orang ramai berlari ke kawasan lapang kira-kira 100 meter dari kompleks terbabit.

"Alhamdulilah, semua ahli keluarga saya selamat dan tiada yang cedera, selepas dapat maklumat daripada pihak kedutaan Malaysia di sini, saya sekeluarga dibenar pulang bersama-sama pelajar Malaysia ke tanah air," katanya.

Badrulamin sekeluarga yang menaiki pesawat CN235 TUDM berlepas pulang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau bersama-sama pelajar Malaysia pada kira-kira pukul 6 pagi waktu Malaysia. BERNAMA

Artikel Sebelum

Burj Dubai siap 2009 ikut jadual

Artikel Berikut

Artikel Lain