suria

Gempa Padang: Susilo mengalu-alukan bantuan Malaysia dan negara lain

JAKARTA: Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono mengalu-alukan sebarang bantuan segera daripada Malaysia dan negara lain dalam usaha membantu mangsa bencana gempa bumi di Sumatera Barat, petang semalam.

Beliau berharap dengan semangat kerjasama Asean dan negara sahabat, mereka boleh menghulurkan bantuan seberapa segera ke kawasan yang dilanda gempa itu.

"Usaha mengendalikan keadaan bencana itu tetap di tangan kita," kata Susilo di Lapangan Terbang Halim Perdanakusumah di sini, tengah hari ini sebaik pulang dari lawatan kerja ke Amerika Syarikat dan mengadakan mesyuarat dengan para menterinya.

Memetik laporan detikcom, Susilo dilaporkan sebagai berkata Indonesia menghargai bantuan yang ditawarkan oleh negaranegara jiran walaupun keutamaan Indonesia mengerahkan tenaga dalam negara itu terlebih dahulu.

Katanya ketika kejadian gempa bumi 7.2 pada skala Richter di Jawa Barat bulan lalu, pemerintah Indonesia menolak bantuan asing kerana kekuatan gempa bumi tidak begitu berat dan meluas seperti yang terjadi di Padang iaitu 7.6 pada skala Richter.

Sementara itu, Panglima Tentera Nasional Indonesia Jeneral Joko Santoso pula berkata beberapa negara asing sudah menawarkan bantuan untuk menghantar anggota tentera mereka untuk membantu mengeluarkan ribuan mangsa yang dilaporkan masih tertimbus di bawah bangunan.

"Beberapa angkatan bersenjata negara sahabat menawarkan bantuan untuk proses evakuasi iaitu Malaysia, Australia, Singapura dan Amerika," katanya. BERNAMA

Artikel Lain