suria

Anifah gesa pengawalan senjata nuklear dan pelucutan senjata pada Perhimpunan Agung PBB

NEW YORK: Menteri Luar Datuk Anifah Aman dalam ucapan sulungnya pada sesi ke-64 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangs-bangsa Bersatu pada Isnin malam menegaskan pengawalan senjata nuklear dan pelucutan senjata adalah "asas keamanan dan keselamatan".

Anifah berkata usaha untuk mencapai dua matlamat itu perlu berpaksikan "perjanjian" yang terdiri daripada tiga elemen iaitu semua negara mempunyai hak untuk menggunakan kuasa nuklear secara aman; negara yang memiliki senjata nukelar perlu mengambil langkah bagi pelucutan senjata; dan negara tanpa senjata nuklear mesti berikrar untuk tidak memilikinya.

Beliau berkata Malaysia meletakkan harapan tinggi terhadap sebarang tindakan oleh kuasa-kuasa besar seperti perjanjian antara Amerika Syarikat (AS) dan Russia untuk mengurangkan stok penimbal nuklear mereka.

"Kami juga mengalu-alukan sebarang langkah lain untuk memperkukuhkan persetujuan ini dengan mengetatkan lagi Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) dan instrumen lain antarabangsa berkaitan pelucutan senjata dan pengawalan senjata nuklear.

"Kami juga akan mengambil bahagian secara aktif dalam Persidangan Semakan NPT pada 2010 dan memainkan hak kami selaku presiden Lembaga Gabenor IAEA (Agensi Tenaga Atom Antarabangsa)," tegasnya.

Anifah, yang berada di New York pada ketika Amerika Syarikat dan negara Barat lain sedang mengalami krisis ekonomi terburuk sejak kemelesetan ekonomi dunia, menggesa negara-negara maju untuk saling bekerjasama dalam menangani krisis itu.

"Saya percaya negara membangun tidak melepaskan tanggungjawabnya untuk menangani cabaran yang sedang dihadapi kita semua. Tetapi usaha kami akan lebih efektif jika dilakukan secara bersama-sama dengan negara maju," katanya.

Untuk mencapai perkara itu, beliau menggesa bagi "terma adil".

"Berikan kami alatnya dan kami akan bantu siapkan tugas itu. Labur dalam masa depan kami dan semua anak-anak kami dan manusia seluruhnya akan mendapat ganjarannya," katanya.

Perubahan iklim, "isu hangat" pada abad ini yang akan dibincangkan di peringkat PBB turut disentuh dalam ucapan Anifah.

"Kami (di Malaysia), dalam konteks tindakan mitigasi, melindungi dan memulihara hutan hujan kami, dilaksanakan melalui pengurusan hutan mampan. Kami meningkatkan penggunaan pengangkutan awam yang dijadikan sebahagian petunjuk prestasi utama kementerian yang relevan. Kami juga meningkatkan penggunaan sumber tenaga diperbaharui dan menggalakkan penggunaan tenaga secara efisien.

"Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi kami telah diubah menjadi Kementerian Tenaga, Teknologi HIjau dan Air," katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan peranan utama ialah di tangan dunia maju.

"Dunia maju yang mesti memainkan peranan utama dalam usaha global menangani perubahan iklim. Tetapi, sedihnya, kepimpinan sebegini amat kurang.

"Ikrar negara-negara maju untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau (GHG) juga tidak memenuhi syarat yang ditetapkan dalam usaha untuk menangani peningkatan suhu global," tegasnya.

Persidangan akan datang mengenai perubahan iklim di Copenhagen sedang hangat dibahaskan dalam ruang lingkup PBB.

Anifah menegaskan penjanjian mengenai perubahan iklim perlu dimuktamadkan di Copenhagen, tetapi ini tidak akan dapat dicapai jika dunia maju terus cuba mentafsirkan semula dan merundingi semula prinsip utama Kerangka Konvensyen Terhadap Perubahan Iklim PBB dan Protokol Kyoto.

Beliau turut menegaskan mengenai perlunya untuk mengseimbangkan antara pembangunan, jaminan makanan dan pembasmian kemiskinan dengan alam sekitar.

"Jangan kita hanya bijak mengeluarkan kenyataan untuk disesuaikan dengan keadaan semata-mata."

Beliau memberikan contoh pengeluaran pertanian yang mengeluarkan 14 peratus gas GHG.

Katanya sistem makanan dunia masih berada dalam krisis, dengan bijian makanan utama masih dijual pada harga di atas paras sederhana.

Beliau berkata perubahan iklim tidak boleh dianggap sebagai "satu perkara sendirian" kerana ia mesti dilihat daripada perspektif lebih luas iaitu sebahagian daripada cabaran pembangunan mampan.

Mengenai Palestin, Anifah menegaskan ketidakadilan merupakan punca kepada pergolakan dan ancaman terhadap keselamatan dan " kita perlu menerima hakikat bahawa isu Palestin berpunca daripada ketidakadilan dalam hubungan antarabangsa".

Beliau menggesa PBB memainkan peranan sebagai broker yang amanah dalam pertikaian Palestin dan Israel.

"Kami mengharapkan pendekatan yang lebih adil oleh AS di Timur Tengah, Kami berharap dapat menjadi sebahagian daripada penyelesaian yang adil dan komprehensif, dan bahawa tindakan AS itu menjadi satu realiti dan bukannya retorik."

Menteri Luar itu turut mempersoalkan pembaharuan PBB yang bergerak amat perlahan, menyatakan keputusan PBB "masih ditentukan oleh beberapa negara sahaja".

"Contoh utama dalam soal ini ialah Majlis Keselamatan PBB. Kami percaya dengan pembaharuan Majlis Keselamatan, termasuk diakhiri dengan penghapusan kuasa veto, amat kritikal jika aspirasi kesaksamaan negara-negara mahu dicapai," katanya.

Mengenai persidangan G-20 baru-baru ini di Pittsburgh, Anifah mengingatkan bahawa Malaysia, berikutan krisis kewangan Asia pada akhir 1990-an, merupakan negara pertama yang memperkatakan teras kerja G-20, seperti pembaharuan institusi Bretton Woods dan memperkukuhkan sistem pengawalan kewangan antarabangsa.

Beliau menggesa G-20 untuk sama-sama mencari jalan untuk meningkatkan lagi hubungan di kalangan masyarakat antarabangsa dan memberikan penjelasan mengenai penglibatan organisasi serantau.

Anifah berkata Malaysia akan memanfaatkan sepenuhnya kedudukannya selaku presiden Majlis Ekonomi dan Sosial (ECOSOC) tahun depan untuk menangani isu itu dan menurutnya ini akan dilakukan secara bersama-sama dan berorientasikan tindakan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain