suria

Kemudahan visa waktu ketibaan untuk pengunjung ke Malaysia

DUBAI: Pengeluaran visa waktu ketibaan (VOA) di pintu masuk utama di Malaysia kini boleh dipertimbangkan untuk warganegara Afghanistan, India, Pakistan dan Sri Lanka yang tinggal di luar negara, sekiranya mereka memegang dokumen tertentu.

Menurut pejabat Tourism Malaysia di Dubai, dokumen itu termasuk pemastautin tetap yang sah, pas ekspatriat, pas tanggungan, pas pelajar dan pas lawatan jangka panjang dari negara lain.

"Pengeluaran VOA juga boleh dipertimbangkan kepada warganegara Afghanistan sekiranya mereka memegang pasport diplomatik atau rasmi," menurutnya.

Bayaran RM330 akan dikenakan bagi VOA itu yang sah bagi tempoh maksimum 14 hari.

VOA dikeluarkan di pintu masuk berikut Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang; Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang; Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor; Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di Sarawak dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di Sabah.

Perkhidmatan itu juga disediakan di Kompleks Sultan Abu Bakar (Link Kedua) di Tanjung Kupang dan Bangunan Sultan Iskandar di Bukit Chagar, kedua-duanya di Johor. BERNAMA

Artikel Lain