suria

Sulawesi Utara diisytihar Wilayah Ekonomi Khas (SER)

JAKARTA: Memandangkan pembangunan ekonomi dan pelaburan yang pesat di Sulawesi Utara, kerajaan pusat Indonesia telah mengisytiharkan wilayah itu sebagai Wilayah Ekonomi Khas (SER).

"Sulawesi Utara adalah yang kedua yang melepasi pengesahan sebagai SER di Indonesia," kata Gabenor SH Sarundajang. Beliau berkata kerajaan pusat memberikan perhatian serius kepada Sulawesi Utara dan menamakannya sebagai SER selepas wilayah itu berusaha keras untuk mempercepatkan pembangunan projek prasarana yang menyokong ekonominya.

Sarundajang berkata pelabuhan laut antarabangsa Bitung yang menghadap Lautan Pasifik sebagai pintu masuk bagi eksport dan import di Indonesia Timur, mempunyai fungsi strategik untuk menyokong SER.

"Selain pelabuhan laut Bitung, lapangan terbang Sam Ratulangi juga menyediakan penerbangan antarabangsa ke beberapa negara seperti Singapura, Taiwan, Filipina dan Jepun," Sarundajang dipetik sebagai berkata oleh Antara News Agency di Manado, ibu kota wilayah itu, hari ini.

Menurut gabenor itu, pelaburan domestik dan asing di Sulawesi Utara meningkat dengan ketara dari tahun ke tahun bersama dengan eksport.

Sementara itu, ahli majlis Sulawesi Utara Benny Rhamdani berkata wilayah itu sepatutnya menerima sambutan positif selepas dinamakan sebagai SER.

"Kerajaan pusat telah menaruh keyakinannya terhadap wilayah ini dan ini membuktikan bahawa pembangunan ekonomi di kawasan ini berkembang dengan pesat," kata Benny. Bagaimanapun, beliau berkata kadar pengangguran dan kemiskinan di wilayah ini masih tinggi dan justeru itu satu penyelesaian diperlukan dengan segera untuk menghalangnya daripada membawa kesan negatif kepada sektor ekonomi.

Sulawesi Utara semakin mendapat perhatian di kalangan rakyat Malaysia termasuk pelabur yang mencari peluang baharu, sejak AirAsia memulakan perkhidmatan penerbangan terus ke Manado. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain