Thaksin orang ke-16 terkaya di Thailand

BANGKOK: Meskipun menjadi orang buruan, Perdana Menteri Thailand yang digulingkan, Thaksin Shinawatra, tetap tersenarai sebagai antara orang terkaya di Thailand, demikian menurut senarai terbaru Orang Terkaya Thailand Forbes Asia.

Thaksin kekal pada kedudukan ke-16 dengan kekayaan bernilai AS$390 juta, susut daripada $400 juta tahun lepas.

Beliau digulingkan ketika rampasan kuasa pada 2006 dan disabitkan kesalahan tanpa beliau hadir di mahkamah dengan hukuman penjara selama dua tahun Oktober lalu kerana melanggar undang-undang percanggahan kepentingan, apabila bekas isterinya, membeli tanah daripada kerajaan. "Lebih tiga juta rakyat Thailand menandatangani petisyen yang dipersembahkan kepada Raja Thailand memohon agar beliau diampunkan," kata majalah itu hari ini, sambil menambah bahawa Thaksin adalah antara 19 orang dalam senarai mereka yang menyaksikan penyusutan kekayaan masing-masing tahun ini.

Taikun minuman Chaleo Yoovidhya, 77, yang terkenal kerana turut mengasaskan minuman untuk tenaga, Red Bull, adalah orang terkaya Thailand bagi tiga kali berturut-turut, dengan nilai kekayaannya kekal sebanyak AS$4 bilion tahun ini.

Kedua ialah Dhanin Chearavanont, presiden konglomerat perniagaan tani, Charoen Pokphand Group, satu daripada syarikat makanan haiwan dan ayam itik terbesar di dunia.

Beliau meningkat dua anak tangga apabila kekayaannya melonjak berbilion dolar kepada AS$3 bilion.

Di tempat ketiga ialah keturunan pengasas Central Group, Tiang Chirathivat, termasuk keluarga tiga isterinya dan 25 anaknya, apabila kekayaan tergabung mereka meningkat sebanyak AS$100 juta kepada AS$2.9 bilion.

Taikutaikun dalam perniagaan makanan dan pertanian juga menikmati pertambahan kekayaan masing-masing.

Antara mereka ialah taikun gula, Isara Vongkusolkit dari syarikat yang menduduki tempat kelapan (AS$900 juta) dan Nantha Chinthammit dari Khon Kaen Sugar Industry di tempat ke-18 (AS$360 juta) serta taikun makanan laut, Kraisorn Chansiri, di tempat ke-28 (AS$175 juta).

Bagaimanapun, Charoen Sirivadhanabhakdi dari Thai Beverage, yang menduduki tempat keempat menyaksikan kekayaannya susut kepada AS$2.8 bilion daripada AS$3.9 bilion tahun lepas.

Kekayaan tergabung 40 orang terkaya di Thailand juga tidak berubah, dan kekal pada AS$25 bilion, kata Forbes.

Menurutnya orang terkaya negara ini membuktikan mereka boleh berdaya tahan meskipun berlaku kelembapan ekonomi global dan ketidakstabilan politik bawaan sendiri yang menyaksikan lima Perdana Menteri mengambil alih tampuk kepimpinan dalam tempoh tiga tahun. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Sah! GRS menang majoriti mudah PRN Sabah