Nalini mula mogok lapar dalam kes pembunuhan Rajiv Gandhi

CHENNAI: Bekas anggota skuad berani mati kumpulan gerila Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), Nalini Murugan, yang disabit terbabit dalam pembunuhan bekas Perdana Menteri India Rajiv Ghandhi pada 1991, memulakan mogok lapar di Penjara Pusat Vellore di sini hari ini.

Nalini, seorang anggota sayap wanita LTTE dari Sri Lanka, dikenakan hukuman mati pada 1991 selepas didapati bersalah bersubahat dengan anggota berani mati yang meletupkan Rajiv di Sriperumbudur di Tamil Nadu.

Hukuman mati terhadap wanita itu kemudian diubah kepada penjara seumur hidup dan dia sudah meringkuk dalam penjara itu selama 18 tahun manakala suaminya turut berada di penjara yang sama.

"Beliau telah memulakan mogok lapar sejak pagi tadi dengan menuntut pembebasan awal dari penjara," kata penguasa penjara Jaya Barathi ketika dihubungi Bernama.

Dalam surat kepada pihak penjara semalam, Nalini, 43, merayu supaya dibebaskan selepas 19 pesalah yang didakwa bersamanya dalam pembunuhan Rajiv dibebaskan dari penjara.

"Daripada 26 tertuduh, 19 kemudian dibebaskan tetapi tidak ada tempat dalam undangundang untuk membebaskan saya. Saya akan berlapar sehingga mati kerana tiada harapan di bawah keadaan ini," katanya dalam surat berkenaan yang ditulis dalam bahasa Tamil.

Anggota skuad berani mati, Thenmozhi Rajaratnam membunuh Rajiv pada 21 Mei, 1991 ketika perdana menteri itu menghadiri kempen pilihan raya di Sriperumbudur di wilayah selatan India.

Kejadian letupan itu turut mengorbankan 20 orang.

Minggu lepas, Nalini mengemukakan pestisyen di Mahkamah Tinggi Madras untuk menuntut pembebasannya.

Mengikut Kod Tatacara Jenayah India, banduan yang menjalani hukuman seumur hidup boleh menuntut pembebasan awal atas alasan kelakukan baik selepas menghabiskan tempoh hukuman sekurang-kurangnya selama 14 tahun.

Awal bulan ini, Nalini berjaya menamatkan pengajian program aplikasi komputer peringkat sarjana selama tiga tahun dari Universiti Terbuka Kebangsaan Indira Ghandhi dengan belajar dalam penjara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain