Lelaki seludup bulu merak ke Malaysia ditahan

CHENNAI: Seorang penumpang penerbangan yang cuba menyeludup keluar 27kg bulu merak ke Malaysia, gagal mengelak daripada pemerhatian tajam Kastam India, apabila tingkah lakunya yang gementar membawa kepada penahanannya di lapangan terbang sebelum sempat berlepas.

Para pegawai daripada unit risikan Kastam Chennai ternampak lelaki terbabit, yang berasal dari daerah Ramanathapuram, berkelakuan ganjil dan menahannya untuk disoal.

Ketika disoal siasat, lelaki itu mula tergagap, sekali gus menimbulkan lebih banyak kesangsian kepada pegawai Kastam yang terus menjalankan siasatan menyeluruh.

Para pegawai itu menemui berkas bulu merak, yang dibungkus rapi oleh suspek dalam beberapa bungkusan termasuk kain, surat khabar dan bunga tiruan, bagi mengelak daripada dikesan.

Barang rampasan bernilai hampir RM5,000 itu dirampas daripada suspek.

Seorang pegawai penyiasat kanan dari Kastam Chennai mengesahkan kepada Bernama mengenai penahanan itu.

"Dalam kenyataannya, suspek berkata seorang lelaki tidak dikenali memberikannya beg itu di luar lapangan terbang Chennai dan dia dikehendaki menyerahkan beg berkenaan kepada seorang saudaranya di Malaysia, yang akan menunggu di lapangan terbang.

"Suspek bukanlah seorang yang selalu melakukan perjalanan dan merupakan peniaga kecil dari Ramanathapuram. Kami telah pun membebaskannya namun sebaik saja Jabatan Hidupan Liar memberi maklumat lanjut, kami mungkin mendakwanya kemudian," kata pegawai itu yang enggan identitinya didedahkan.

Laporan awal siasatan belum kukuh dan Jabatan Kastam sedang berusaha mengenal pasti sama ada suspek melakukan perjalanan ke luar negara menggunakan pasport palsu dan terbabit dalam penyeludupan bulu merak sebelum ini.

Merak, iaitu burung kebangsaan India, diharamkan pengeksportan bulunya mengikut Akta Kastam 1962 dan Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972. BERNAMA

Artikel Sebelum

Thaksin orang ke-16 terkaya di Thailand

Artikel Berikut

Maharaja Thailand masih di hospital

Artikel Lain