suria

Sambutan Aidilfitri rakyat Malaysia di New Zealand meriah

WELLINGTON: Biarpun beribu batu jauh dari keluarga terdekat dan sahabat handai, rakyat Malaysia di New Zealand terutamanya di ibu negaranya di sini tetap merayakan Hari Raya Aidilfitri dengan meriah.

Tarikh 1 Syawal yang disambut pada Ahad di negara ini, dimulakan dengan solat Aidilfitri dan bertakbir yang turut dianjurkan oleh pusat-pusat Islam di seluruh New Zealand termasuk di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini.

Selesai solat Aidilfitri, kira-kira 300 orang jemputan termasuk penuntut universiti tempatan, rakyat Malaysia yang bekerja di negara ini dan orang perseorangan turut dijamu dengan hidangan dan juadah hari raya di Dewan Bunga Raya di suruhanjaya berkenaan.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand Datuk Hasnuddin Hamzah, Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia New Zealand Dr Rosli Mohammed dan pegawai serta kakitangan suruhanjaya berkenaan.

Hasnuddin turut mengadakan rumah terbuka di kediaman rasminya di Khandallah, dekat sini bermula pukul 2 hingga 6 petang waktu tempatan.

Rakyat Malaysia di sini juga meneruskan tradisi kunjung mengunjung yang diamalkan di tanah air.

Mohd Zaidi Mohamad, yang mengikuti isterinya menyambung pengajian di peringkat ijazah kedoktoran di Massey University di sini berkata sambutan rakyat Malaysia di sini tidak kurang meriah.

"Malah kita di sini juga dapat menikmati juadah hari raya seperti di tanah air seperti ketupat, rendang, lemang, nasi impit, rempeyek dan lainlain. Bezanya kita tak berjumpa dengan saudara mara terdekat sahaja," katanya.

Beliau berkata, pada Ahad, sudah enam rumah rakan dari Malaysia di sekitar Wellington yang dikunjungi secara berkumpulan sejak selepas solat Aidilfitri di suruhanjaya pagi ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain