suria

Rakyat Malaysia di luar negara turut sambut Aidilfitri dengan meriah

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang berada di luar negara juga tidak kurang meriahnya menyambut Aidilfitri dengan meraikannya di kedutaan Malaysia selain mengunjungi rumah rakan senegara.

Di DUBAI, walaupun jauh beribu batu daripada tanah air, rakyat Malaysia tetap mengekalkan identiti bangsa dengan mengenakan pakaian tradisional baju Melayu dan songket bagi lelaki dan baju kurung bagi wanita pada hari yang mulia ini.

Rakyat Malaysia menunaikan solat sunat Aidilfitri di Malaysia Trade Centre di Dubai manakala mereka yang tinggal di Abu Dhabi, ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE), mengerjakan solat sunat di Kedutaan Malaysia.

Solat di Dubai diimamkan oleh pengarah Pusat Promosi Pendidikan Malaysia or Shushilil Azam Shuib.

Mereka kemudian menghadiri beberapa majlis rumah terbuka di sekitar bandar raya ini.

Cuti sempena Aidilfitri di UAE bermula Sabtu hingga Selasa bagi sektor awam dan sehingga Isnin bagi sektor swasta.

UAE menyertai Arab Saudi dan kebanyakan negara teluk menyambut Aidilfitri hari ini.

Di JAKARTA, ratusan umat Islam Malaysia yang bekerja dan belajar di ibu kota Indonesia ini menunaikan solat sunat Aidilfitri di Dewan Besar Kedutaan Besar Malaysia di Jalan Rasuna Said di sini.

Di pelbagai bandar di peringkat wilayah pula, sebahagian besar daripada hampir 6,000 pelajar Malaysia, kebanyakannya sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran, farmasi dan pergigian, menunaikan solat sunat itu bersama penduduk tempatan.

Sambutan yang lebih dikenali dengan panggilan 'Lebaran' di negara berpenduduk Islam terbesar di dunia ini, bermula sejak malam tadi dengan sebahagian umat Islam keluar ke jalan raya dan melaungkan takbir raya. Pagi ini mereka menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjidmasjid berdekatan termasuk Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan isteri Ibu Ani Yudhoyono yang menyertai ribuan umat Islam di Masjid Istiqlal di sini.

Turut serta Naib Presiden Jusuf Kalla dan Menteri Agama Maftuh Basyuni serta para pegawai tinggi yang lain dengan khutbah disampaikan oleh Prof Dr Muhammad Ali.

Memandangkan Indonesia baru saja dilanda gempa bumi di barat daya Tasikamalaya, Jawa Barat yang berkekuatan 7.2 pada skala Richter pada 2 Sept, puluhan ribu umat Islam yang menjadi mangsa pemindahan menunaikan solat Aidilfitri di perkemahan masingmasing.

Seperti kelaziman setiap tahun, Jakarta menjadi agak sepi dalam seminggu ini kerana jutaan penduduknya 'mudik lebaran' atau pulang kampung ke merata pelosok Indonesia untuk berhari raya bersama dengan keluarga masingmasing.

Pada perayaan tahun ini, pemerintah Indonesia menjangkakan lebih kurang 27 juta umat Islam di negara berpenduduk 230 juta ini pulang beraya ke kampung sama ada dengan menaiki kapal terbang, keretapi, kereta, motosikal, mahupun kapal dan feri. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain