NEW DELHI: Dua remaja terpaksa melalui pengalaman sangat menggerunkan di Assam, timur laut India, apabila polis menggunakan "cili hantu" untuk menghukum mereka kerana disyaki mencuri.
Akhbar Hindustan Times melaporkan polis di daerah Sivasagar di daerah Assam didakwa mendera dua remaja itu yang dituduh mencuri telefon bimbit dan kupon pembelian dengan menyapu cili yang sangat pedas itu pada badan selain memaksa mereka menelannya.
Khamis lepas, polis menahan Lakhinda Hazarika dan sepupunya Kumud Phukan, dari kampung mereka selepas seorang jiran membuat laporan bahawa keduadua remaja terbabit mencuri barangan itu.
Keduadua suspek yang ditahan itu kemudiannya didakwa dibogelkan serta didera sepanjang malam dan polis dikatakan menggunakan cili "bhut jolokia" atau "naga jolokia", yang terkenal kerana rasa pedasnya yang teramat sangat.
Guinness Book of World Records menyenaraikan bhut jolokia sebagai cili paling pedas di dunia. Bhut jolokia, lazimnya dikenali sebagai "cili hantu" dalam kalangan penduduk Assam, ditanam di wilayah timur laut India.
Cili ini mempunyai ukuran unit kepanasan 1,041 047 pada skala Scoville, yang digunakan untuk mengukur tahap kepedasan cili. Cili hijau biasa pula mencatatkan 1,500 pada skala yang sama.
Ekoran insiden itu, hampir 1,000 penduduk kampung menyerbu ke balai polis dan mendesak pihak berkuasa menghukum anggota polis yang terbabit dalam penderaan itu.
Di Assam, petani setempat membuat "bom cili" menggunakan bhut jolokia untuk menakutkan dan menghalau gajah liar dari tanah ladang mereka.
Akhbar itu tidak melaporkan keadaan kesihatan kedua-dua remaja terbabit. BERNAMA


