AMIRUL (bukan nama sebenar) tidak menyangka perniagaan pakaiannya menjadi begitu laris dalam tempoh dua minggu saja.
Butik pakaiannya yang kecil di lorong hujung deretan gerai-gerai lain tiba-tiba mendapat sambutan luar biasa.
Namun, satu malam ketika mengemas stok pakaian Amirul menemui sesuatu yang membuatkan dia merinding.
Terdapat satu botol kecil berisi cecair hitam pekat dililit dengan benang merah dan ada cebisan kertas kecil dengan tulisan aneh.
Sejak daripada malam itu, Amirul mula mengalami perkara pelik apabila setiap pagi dia terasa berat, lemah dan malas untuk ke kedai.
Kedai yang dulu meriah kini terasa suram dan kosong, walau pintu terbuka luas.
Lebih teruk lagi, dia mula sakit tanpa sebab sehingga tubuhnya kurus kering, wajahnya cengkung dan sering merasa seperti diperhatikan.
Suatu hari, Amirul bertemu kawan lamanya, Farid selepas tiga tahun tidak bersua muka.
Cemburu dengan kejayaan orang lain antara punca sihir diamalkan. -Gambar hiasan
Daripada riak wajah dan cara Amirul bercakap, Farid dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena apabila matanya seperti 'kosong' dan kulitnya pucat.
Secara diam-diam, Farid mengambil gambar Amirul dan menghantarnya kepada seorang ustaz yang dikenalinya.
Tidak lama kemudian, Amir menerima panggilan daripada ustaz itu.
"Kawan kamu ni kena sihir. Ada orang tak suka dan dengki dia berniaga," kata ustaz itu ringkas.
Ustaz meminta Amirul datang berubat, tetapi dia menolak.
Sehinggalah pada malam sama, sesuatu yang lebih menyeramkan berlaku.
Dalam keadaan separuh sedar, Amirul menghantar mesej kepada ustaz menerusi aplikasi WhatsApp.
"Ustaz, 'dia' datang," tulisnya dalam mesej itu.
Tidak lama selepas itu, ustaz menerima satu lagi mesej bergambar yang lebih membuatkan darahnya berderau.
Menggunakan ilmu hitam adalah satu dosa dan salah dalam Islam. -Gambar hiasan
Gambar itu adalah swafoto Amirul sendiri tetapi ada sesuatu yang tidak kena apabila matanya hitam legam dan anak matanya tidak kelihatan.
Di bawah gambar itu, ada satu kapsyen yang tidak pernah ditulisnya.
"Jangan kacau urusan aku!," tulis si 'dia' dalam mesej berkenaan.
Bagaimanapun, Amirul tidak ingat bila dia mengambil gambar itu kerana foto berkenaan tiada dalam galeri telefonnya setelah diperiksa.
Malam itu juga, Farid memaksa Amirul ke rumah ustaz dan rawatan Islam dijalankan membuatkan dia menjerit ketakutan sehinggakan pelbagai suara keluar daripada mulutnya.
Selepas berjam-jam bertarung akhirnya dia rebah dan apabila tersedar, tubuhnya terasa ringan dan kembali normal.
Sejak kejadian itu juga, kedainya kembali beroperasi dan dipenuhi dengan pelanggan seperti sebelumnya.
Tetapi kali ini, dia lebih berhati-hati dan membaca doa pelindung setiap kali keluar dari rumah untuk ke kedai.