suria

Jangan ketinggalan! Segera pasang tag RFID kalau tak nak bersesak, semua laluan PLUS, LPT2 sedia lorong RFID April ini

RFID di PLUS akan menjadikan pengalaman perjalanan pengguna lebih lancar.

BERMULA 1 April 2020, Plus Malaysia Berhad (PLUS) akan membuka kemudahan pembayaran tol menggunakan RFID di kesemua 83 tol sistem tertutup dari arah utara ke selatan termasuk  Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sepanjang laluan ke timur Semenanjung.

Pelaksanaan menyeluruh ini sebagai tanda penyempurnaan ekosistem lebuh raya yang menggunakan sistem RFID sepenuhnya, di samping menawarkan kemudahan transaksi tol tanpa tunai, tambah nilai melalu perbankan internet dan e-dompet.

Ini termasuk pengguna bebas dari sebarang kerumitan dalam penggunaan gajet dan keperluan penggunaan bateri bagi SmarTAG.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak perlu beratur atau bawa tunai... aplikasi diperkenalkan Petronas boleh 'Setel' isi minyak anda

Kemudahan ini juga selaras dengan visi kerajaan untuk melaksanakan Sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF).

Lorong RFID memberi banyak manfaat kepada pengguna.

Sejak 36 bulan lalu, PLUS telah menyelaraskan sistem RFID bersama Touch ‘n Go, di mana ia dilaksanakan di 10 plaza tol sistem terbuka pada 1 Januari 2020 dan bermula April 2020 ini, seluruh rangkaian lebuh raya PLUS (semua plaza tol sistem terbuka dan tertutup) akan menerima pembayaran melalui RFID.

Ekoran itu, PLUs menjangkakan peningkatan dalam permintaan RFID, khususnya dalam kalangan 1.7 juta pelanggan lebuh raya.

Malah kata Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, tawaran perkhidmatan RFID di PLUS akan menjadikan pengalaman perjalanan pengguna lebih lancar.

Menurutnya lagi, usaha untuk memperluas kegunaan RFID di lebuh raya PLUS selari dengan kehendak dan keperluan pengguna lebuh raya masa kini agar transaksi tol dapat dilaksanakan dengan mudah tanpa sebarang kerumitan serta lebih lancar di plaza-plaza tol.

Segeralah berkunjung ke pusat pemasangan Tag RFID.

Pun begitu, transaksi tol menggunakan kad Touch 'n go serta SmaTAG masih boleh diterima bagi memberi masa kepada pengguna bertukar kepada RFID dalam jangka masa tahun ini.

Bagi membolehkan pengguna lebuh raya menggunakan sistem RFID, PLUS menasihatkan agar mereka segera memasang pelekat Tag RFID di pusat-pusat pemasangan yang disediakan di seluruh negara.

Bermula 13 Mac ini juga, 17 pusat pemasangan tag RFID akan dibuka di Lebuh Raya PLUS termasuk kawasan rehat dan rawat (R&R) terpilih.

Maklumat lanjut mengenai lokasi pusat pemasangan tersebut boleh diperolehi melalui pautan di https://rfidregister.touchngo.com.my/fitment-centres. 

Artikel Lain

Harry Maguire jadi sasaran Chelsea