suria

Sap sap sui! Apa maksudnya ye? Jom semak... ada 'bank' kumpul slang rakyat Malaysia

'Gitew' antara slang yang biasa kita dengar digunakan oleh ramai orang. Foto Instagram @myslangbank

DALAM banyak-banyak perkara, makanan sentiasa menjadi perkara penting yang menyatukan rakyat Malaysia tidak kira bangsa atau latar belakang kita.

Tidak ketinggalan slang yang kita kongsi, demikian menurut Fazlee Sabbaruddin iaitu salah seorang daripada individu di sebalik MySlangBank, sebuah profil Instagram yang memaparkan perkataan slang tempatan.

"Perkara paling cool tentang slang Malaysia adalah perkataan itu mempunyai maksud sama, tidak kira apa juga bahasa yang anda gunakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Twitter bakal perkenal Fleets, tapi pengguna kecam sampai buat hashtag #RIPTwitter

"Ia seperti alat perpaduan - anda boleh berbahasa Melayu, Inggeris atau Tamil dan apabila anda menggunakan perkataan tertentu, kita semua akan faham.

'Kering' membawa maksud tiada duit. 

"Lebih uniknya, perkataan slang yang kita gunakan datang daripada pelbagai bahasa dan kita tidak bersikap diskriminasi apabila berkaitan slang- semua boleh!," katanya yang juga seorang pengarah kreatif di TBWA Kuala Lumpur.

Setakat ini, profil tersebut mempunyai 4,000 pengikut dengan lebih 322 posting mengenai perkataan yang biasa kita gunakan seperti chup, tapau, gomen, lock-luck, cokia dan meroyan.

Tetapi apa yang menjadikan sesuatu perkataan itu slang?

"Satu perkataan itu dianggap sebagai slang apabila ia digunakan secara tidak rasmi dan tidak diterima sebagai kata rasmi. Ia juga perlu digunakan secara meluas oleh sekumpulan orang, sama ada bangsa, rantau atau subkultur tertentu. Ia boleh jadi ada maksud lain, tetapi inilah cara kami menentukannya," jelasnya.

Bagi mewujudkan keseronokan, setiap perkataan slang juga lengkap dengan reka grafik yang unik, melucukan serta contoh penggunaan.

Untuk merealisasikan perkara itu kata Fazlee, 45, seramai 25 pereka, pengarah seni dan penulis dari agensinya bertanggungjawab terhadap reka bentuk MySlangBank (dan berani dikatakan, aneh) dan cerita mengiringi setiap perkataan.

'Sangkak' dipopularkan oleh Azwan Ali. 

Sebaik sahaja tema dipilih, penulis dapat bekerja dengan memilih perkataan yang sesuai dengan tema.

"Apabila definisi dan ayat-ayat sampel telah ditulis, para pereka dapat menterjemahkan dalam bentuk grafik. Paling menarik setiap pereka dan pengarah seni bertanggungjawab terhadap satu slang, itu sebabnya kami mempunyai pelbagai gaya dalam menyampaikan maksud sesuatu perkataan.

"Kami memberi kebebasan kepada pereka menggunakan apa juga gaya yang mereka mahukan, selagi ia dapat menjelaskan maksud perkataan itu dengan jelas," katanya lagi.

Hantaran terbaharu menampilkan tiga helai seluar yang sedang dikeringkan diampaian. Visual itu secara langsung sepadan dengan perkataan slang 'kering' yang bermaksud tiada duit dalam poket.

Bermula suka-suka, guna Excel sebelum wujud MySlangBank

Menariknya, MySlangBank bermula sebagai aktiviti suka-suka oleh Fazlee dan pasukannya pada pertengahan 2018.

'Sap Sap Sui' merujuk kepada senang. 

"Kami mahu mengkaji perkataan slang kerana ia datang dan pergi. Sebab itu ada perkataan yang tidak pernah kita dengar lagi dan beberapa perkataan pula mempunyai banyak makna, jadi kami mahu wujudkan sebuah 'bank' bagi mengumpul semua perkataan (dari situ juga kami dapat nama MySlangBank).

"Jika hendak tahu, kami hanya gunakan Excel. Kemudian, seseorang tampil dengan idea untuk menjadikannya sebagai sebuah akaun Instagram, di mana kita boleh berkongsi kata-kata yang kita ada, jadi rakyat Malaysia yang lain juga boleh mendapat manfaat.

"Apa yang kita suka adalah apabila orang mula membincangkan tentang menggunakan perkataan itu dengan rakan-rakan mereka atau bagaimana definisi sesuatu perkataan itu di kawasan mereka berbeza dengan apa kami paparkan," katanya.

Malah Fazlee turut mengalu-alukan cadangan daripada pengikut mereka di Instagram.

"Kami fikir dengan cara ini, kami boleh mengumpul lebih banyak slang, sebagai contoh senarai slang popular di Pantai Timur, maka perkataan dalam 'bank' akan lebih banyak termasuk berbilang kaum dan budaya," jelasnya. - The Star

Slang, MyslangBank, Tapau, Cokia, Instagram

Artikel Lain