suria

Twitter bakal perkenal Fleets, tapi pengguna kecam sampai buat hashtag #RIPTwitter

Twitter sedang menguji ciri terbaharunya iaitu Fleets di Brazil.

TWITTER bakal melancarkan ciri terbaharu seperti stories yang ada pada Instagram, Facebook, YouTube dan WhatsApp dipanggil Fleets.

Seperti di laman sosial lain, posting di Fleets hanya akan bertahan selama 24 jam dan sedang diuji di Brazil sejak awal minggu ini.

Bagaimanapun penggunaan ciri terbaharu ini di seluruh dunia bergantung kepada penerimaan pengguna di negara itu.

Pengguna bukan sahaja boleh memuat naik foto, video atau GIF di Fleets tetapi juga menulis teks sehingga 280 patah perkataan.

Ciri terbaharu itu bagaimanapun tidak membenarkan retweet, tanda suka atau membalas komen terbuka pada Fleets melainkan secara privasi.

Fleets membolehkan penggunanya memuat naik stories yang bertahan selama 24 jam. 

Namun begitu, ciri itu mendapat reaksi negatif daripada pengguna Twitter sendiri sehingga tanda pagar #RIPTwitter menjadi trending di laman sosial itu.

Ramai mempersoalkan tindakan Twitter memperkenalkan Fleets kerana ia menjadikan laman sosial itu sama seperti yang lain.

"Kenapa mesti terikut-ikut dengan aplikasi lain? Twitter mempunyai keistimewaan tersendiri yang tempat lain tiada... Sebab itu kami memilih Twitter.

"Rasanya tidak perlu ciri stories itu, #RIPTwitter," tulis seorang pengguna Twitter.

Ciri terbaharu itu adalah pembaharuan paling signifikan sejak Twitter diwujudkan pada 2006 kerana sebelum ini, pengguna Twitter hanya boleh melakukan satu perkara; menulis twit dan langkah itu sebagai memperkemaskan lagi laman sosial itu.

Twitter, #RIPTwitter, Facebook, Instagram

Artikel Lain