Aquaria KLCC beri ilham Aizad Fahmy untuk ‘berkebun dalam air’ - I-suke | mStar

Aquaria KLCC beri ilham Aizad Fahmy untuk ‘berkebun dalam air’

Akuaskap adalah seni menghias akuarium dengan menggunakan tumbuhan akuatik.

BERMULA dengan kunjungan ke Aquaria KLCC bersama keluarganya pada awal tahun lalu, Aizad Fahmy Zahar, terus jatuh cinta dengan seni susun atur akuaskap yang amat memukau pandangannya.

Kata eksekutif projek latihan dan perundingan di sebuah syarikat swasta berusia 34 tahun ini, dia terpegun dengan keindahan paludarium yang terdapat di salah satu seksyen di oseanarium Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Sejak itu, bapa kepada tiga cahaya mata ini membuat bacaan dan menonton video di YouTube bagi mendalami lebih lanjut tentang ilmu akuaskap.

Akuaskap adalah seni menghias akuarium dengan menggunakan tumbuhan akuatik, susunan batu, tunggul kayu, tanah dan pasir secara estetik di dalam akuarium.

Aktiviti ini seolah-olah berkebun di dalam air.

Aizad Fahmy mula secara serius dalam bidang akuskap sejak tahun lalu.

“Saya tiada latar belakang dalam bidang ini, cuma biologi adalah salah satu subjek kegemaran saya sejak dari kecil.

“Akuarium ini pula berkaitan dengan biologi. Ia membuatkan saya lebih berkobar-kobar untuk mengetahui tentang akuarium,” katanya ketika ditemui mStar Online di kediamannya di Kota Damansara, baru-baru ini.

Kemudian, Aizad Fahmy menjadikan hobinya itu sebagai satu sumber pendapatan selepas beberapa rakan turut menunjukkan minat terhadap hasil kerjanya.

“Saya belajar sendiri-sendiri sahaja dan banyak habiskan masa dengan membaca artikel berkaitan sebelum benar-benar serius untuk buat akuaskap ini.

“Dari situlah saya belajar mendalami ilmu berkaitan alam sekitar dan kemudian baru berani ambil tempahan. Pelanggan pertama ialah kawan sendiri, dia minat dan ada akuarium di pejabat tapi tak terjaga,” katanya yang mula mengambil tempahan pada awal tahun ini.

Saya belajar sendiri-sendiri sahaja dan banyak habiskan masa dengan membaca artikel berkaitan sebelum benar-benar serius untuk buat akuaskap ini

AIZAD FAHMY

Menurutnya, anggaran kasar bagi menyiapkan dekorasi akuarium itu adalah RM1,000 bagi satu kaki ukuran tangki yang digunakan.

Dia yang pernah mengikuti jurusan Bioteknologi dan Komputer Sains ketika di universiti tidak pernah menyangka bahawa dirinya berbakat untuk menghasilkan seni seperti itu.

Katanya, dia juga sering melakukan eksperimen untuk mengetahui jenis hidupan air dan tumbuhan yang sesuai digunakan.

Pemilihan pokok adalah berdasarkan susun atur latar depan, latar tengah dan latar belakang. Kemudian barulah ia dipilih mengikut warna yang dikehendaki.

Bagi pemilihan hidupan air pula, Aizad Fahmy gemar memilih haiwan jenis komunal kerana ia dapat hidup harmoni dalam sebuah tangki.

Setiap hidupan air yang dipilih oleh Aizad Fahmy mempunyai fungsinya yang tersendiri.

“Pemilihan hidupan air pula haruslah yang bukan jenis karnivor dan pokok mestilah kecil untuk disesuaikan dengan saiz akuarium.

“Saya pilih ikan komuniti yang boleh hidup sesama sendiri, tak kacau hidupan lain.

“Kalau ada seekor ikan yang agresif, ia akan buat ikan lain tertekan dan sistem imunisasinya terganggu dan seterusnya akan senang diserang penyakit,” jelasnya.

Setiap hidupan air juga memiliki fungsi tersendiri seperti siput pembunuh untuk kawal populasi, siput ‘nerite’ untuk mengawal alga, manakala udang amano, otocinclus, dan ikan Siamese Algae Eater (SAE) pula berperanan membersihkan tangki sekiranya terdapat lebihan makanan.

Selain itu, ikan jenis neon tetra dan ember tetra pula digunakan untuk tujuan melawa (estatik).

akuaskap , Aizad Fahmy

Klik

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

Artikel Lain