“Impian saya nak ada ‘library’ sendiri” - Sanggup 'ikat perut' nak beli majalah hiburan sejak sekolah menengah - I-suke | mStar

“Impian saya nak ada ‘library’ sendiri” - Sanggup 'ikat perut' nak beli majalah hiburan sejak sekolah menengah

Diraf tidak beri atau jual koleksi majalahnya walaupun ada yang mahu membelinya dengan harga tinggi.

SIAPALAH seorang selebriti itu tanpa sokongan penuh daripada peminat mereka.

Jika sebelum kewujudan zaman digital dan laman sosial, peminat hanya boleh mengetahui perkembangan artis kegemaran mereka dengan hanya membeli majalah hiburan yang diterbitkan setiap satu minggu atau satu bulan.

Hanya melalui majalah hiburan seperti URTV, Hai, Mangga, Media Hiburan dan sebagainya, barulah mereka boleh mengetahui setiap perkembangan artis dan dapat melihat foto terbaharu mereka, tidak kiralah artis 'otai' atau yang baru nak mencuba nasib dalam industri.

Antara koleksi majalah hiburan yang dikumpul sejak 1999.

Seorang peminat industri hiburan tempatan, Mohd Farid Mohamed Said, 35, atau lebih senang disapa Diraf adalah salah seorang pengumpul majalah hiburan yang mempunyai hampir 3,000 koleksi yang dikumpul sejak 1999.

Diraf berkata dia mula meminati dunia hiburan sejak pertama kali menonton Anugerah Juara Lagu Ke 11 (AJL11) pada tahun 1996 yang mana penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza ketika itu dinobatkan sebagai juara.

Dia yang mula mengumpul ketika berusia 14 tahun sanggup 'ikat perut' dan menyimpan duit belanja demi membeli majalah kegemarannya yang mana dia mengaku sering tidak sabar untuk melihat foto-foto artis sebelum majalah dijual di pasaran.

Siti Nurhaliza adalah artis pertama yang diminatinya.

"Saya mula minat dunia hiburan sejak tengok AJL11 dan ketika itu Datuk Seri Siti dinobatkan sebagai juara. Beliau adalah artis pertama yang saya minat.

"Tapi saya mula kumpul majalah ketika usia saya 14 tahun. Saya sanggup tak makan di sekolah sebab nak simpan duit belanja untuk beli majalah.

"Sekarang ini saya ada kira-kira 2,000 hingga 3,000 majalah hiburan yang dikumpul sejak 1999 lagi sampailah sekarang masih ada lagi simpan dengan baik," katanya kepada mStar Online.

Menurut Diraf yang bekerja sebagai pembantu pustakawan, ketika itu majalah Hai berharga RM2 dan manakala URTV, Mangga serta Media Hiburan pula dibeli dengan harga RM3.

Biarpun ada rakan-rakan mempersendakan dirinya dan menganggap koleksi tersebut hanya satu pembaziran, namun Diraf tidak kisah kerana baginya, semua orang mempunyai hobi dan minat yang berlainan.

Diraf mula membeli majalah hiburan ketika usianya 14 tahun.

Malah, arwah ibunya, Napsiah Adam juga pernah memarahinya kerana menghabiskan duit hanya untuk membeli majalah hiburan setiap minggu tetapi dia hanya 'tahan telinga'.

"Arwah ibu pernah juga bising tanya kenapa kena beli majalah setiap minggu tapi lama-kelamaan dia faham saya minat hiburan. Tapi ada juga kawan-kawan yang persendakan saya dan anggap semua tu buang masa saja.

"Tapi bagi saya, itu bukan buang masa. Ia adalah minat dan hobi saya sejak dahulu lagi. Setiap orang ada minat dan hobi masing-masing dan saya tak kisah pun apa orang nak kata," ujarnya.

Selain itu, Diraf juga gemar menghadiri acara atau majlis hiburan untuk bertemu dan bergambar dengan artis-artis kesukaannya dan sehingga kini dia masih lagi melakukan perkara sama.

Diraf gemar menghadiri majlis atau acara hiburan untuk bertemu artis kegemarannya dan foto bersama Fazura ini diambil sekitar tahun 2000.

Dalam pada itu, Diraf tidak pernah memberi atau menjual koleksi majalah tersebut walaupun ada pihak yang menawarkan harga tinggi untuk membelinya kerana menganggap koleksi yang ada sebagai satu kenangan.

"Saya juga ada beberapa koleksi gambar bersama artis sebab suka pergi acara atau majlis hiburan. Sekarang ini, majalah pun dah tak ada, itu sahaja cara nak tengok dan jumpa mereka selain tengok di laman sosial.

"Sebelum ini ada juga beberapa orang bertanyakan tentang majalah yang saya kumpul tu. Ada yang minta tapi saya tak bagi. Kalau ada yang nak beli pun saya tak akan jual walaupun ditawarkan dengan harga yang tinggi.

"Sayang nak jual atau bagi orang sebab ia kenangan buat saya. Lagipun, saya ada simpan impian nak ada ruang perpustakaan apabila ada rumah sendiri nanti," ujarnya.

majalah hiburan , koleksi , hobi

Lebih Artikel