suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Spesies dari Sungai Amazon tiba-tiba muncul di Empangan Klau? Ini 10 fakta ikan piranha, paling bahaya jika berkumpulan!

Ikan yang didakwa sebagai spesies piranha perut merah (Pygocentrus nattereri) yang ditemukan seorang pemancing di Empangan Klau, Raub, minggu lalu. -Foto media sosial

PENEMUAN ikan asing yang didakwa sebagai spesies piranha perut merah (Pygocentrus nattereri) di Empangan Klau, Raub, minggu lalu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

Tambahan pula tersebar satu hantaran video memaparkan ikan berkenaan memakan buaya, sekali gus mencetuskan kebimbangan warga maya mengenai kemungkinan spesies asing itu berada di perairan berkenaan. 

Berdasarkan siasatan Jabatan Perikanan Pahang, ikan itu ditangkap menggunakan jala oleh seorang penduduk pada 26 Ogos lepas.

Berdasarkan keterangan individu berkenaan, hanya seekor ikan didakwa sebagai piranha ditangkap pada hari kejadian, manakala tangkapan lain terdiri daripada lampam sungai, lampam Jawa, zebra tilapia dan peacock bass.  

Ketika ini Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Glami Lemi di Negeri Sembilan sedang menjalankan siasatan dan penyelidikan bagi mengesahkan identiti spesies itu.

Namun, di kala berita mengenai penemuan ikan yang didakwa sebagai piranha itu mendapat perhatian ramai, timbul pelbagai andaian dan kebimbangan mengenai spesies berkenaan yang digambarkan sebagai makhluk air yang dahagakan darah dan berbahaya.

Pelbagai filem dan cerita fiksyen juga menggambarkan keganasan ikan ini.

Piranhas belong to a group of freshwater fish within the genus Serrasalmus. Out of 25 species in this group, only four are harmful to humans and animals. -- The Phnom Penh Post/ANN

Ciri khas ikan piranha mempunyai barisan gigi bergerigi yang tajam.

Hal ini membuatkan ramai orang percaya bahawa piranha ialah pemangsa ganas dan agresif yang melahap mangsanya dalam masa beberapa saat. 

Namun, sebenarnya, banyak maklumat yang tersebar tentang ikan piranha adalah tidak benar.

Berikut beberapa fakta mengenai ikan piranha yang mungkin tidak diketahui ramai, sebagaimana perkongsian Science ABC dan reptilia.org: 

1. Piranha ialah ikan air tawar yang merupakan anggota famili Serrasalmidae. Ciri khas ikan ini ialah barisan gigi bergerigi yang tajam.

2.  Ahli biologi menganggarkan terdapat antara 40 hingga 60 spesies piranha yang tersebar di seluruh dunia.

3. Menurut laporan Science ABC, habitat asal ikan piranha ialah sungai air tawar, tasik dan dataran banjir di Amerika Selatan, termasuk lembangan Sungai Amazon yang luas. 

4. Piranha bukanlah ikan yang menghabiskan seluruh masa memburu daging. Sebaliknya, ia merupakan haiwan omnivor yang lebih kerap memakan serangga, cacing dan tumbuhan berbanding ikan serta daging.

5. Piranha mungkin menunjukkan tingkah laku agresif apabila berasa terancam.

ARTIKEL BERKAITAN: Rupanya bertahun-tahun kita ditipu petua lama! Mulai sekarang jangan basuh telur sebelum simpan

6. Ikan ini juga tidak mampu menghabiskan mangsanya dalam masa yang singkat. Malah, tidak semua piranha merupakan pemakan daging.

Sebagai contoh, spesies Tometes camunani yang mendiami jeram berbatu di Amazon, Brazil, merupakan spesies herbivor yang memakan tumbuhan akuatik.

7. Serangan terhadap manusia sangat jarang berlaku dan biasanya tidak disengajakan. Manusia juga bukan sebahagian daripada diet normal piranha.

Seorang penyelidik dari Brazil menyimpulkan bahawa kejadian piranha menyerang tubuh manusia hampir pasti berlaku selepas mangsa tersebut meninggal dunia.

8. Piranha lebih kerap bertindak sebagai pemakan bangkai berbanding pemburu. Ia cenderung memakan daging yang telah mati berbanding menyerang haiwan hidup.

9. Ikan piranha paling berbahaya apabila mereka bergerombol. Pada ketika itu, mereka mempunyai kelebihan dari segi persaingan, menyebabkan tingkah laku mereka menjadi jauh lebih tidak menentu dan lebih cenderung untuk menggigit.

10. Di habitat liar, ikan piranha perut merah biasanya hidup antara 10 hingga 15 tahun, walaupun ia boleh hidup lebih lama dalam akuarium dengan penjagaan yang baik. Piranha perut merah dewasa boleh mencapai berat antara satu hingga tiga kilogram.

Walaupun risiko ancaman terhadap manusia adalah relatif rendah, perkara ini tetap perlu dipandang serius kerana sekiranya spesies tersebut dibiarkan membiak sehingga membentuk populasi yang stabil, kewujudannya berpotensi menimbulkan ancaman terhadap populasi ikan tempatan di negara ini.

Artikel Lain