Seorang suami tampil menjadi 'penyelamat' selepas isterinya terlupa memakai tudung sebelum ke pejabat.
KESIBUKAN pada waktu pagi ada kalanya menyebabkan kita terlupa perkara kecil seperti tertinggal barang keperluan harian yang penting.Begitulah situasi melucukan yang dialami seorang wanita, Badrina Ghazali apabila dia hanya menyedari tudungnya tertinggal di rumah sebaik sahaja tiba di petak parkir pejabatnya. Menerusi perkongsian dibuat di media sosial, wanita itu menceritakan bagaimana dia menghubungi suaminya yang ketika itu masih berada di rumah menguruskan anak, untuk meminta bantuan menghantar tudung berkenaan.Tidak lama kemudian, si suami tiba di lobi bangunan pejabatnya dengan masih mengenakan topi keledar lalu menghulurkan sehelai tudung hitam kepada Badrina yang sedia menunggu di pintu masuk.Menariknya, biarpun tudung tersebut dihantar menaiki motosikal, ia dilihat kekal rapi dan tidak berkedut, sekali gus mencuri perhatian ramai warga maya.Situasi berkenaan mengundang pelbagai reaksi netizen yang kagum dengan usaha si suami, malah ramai kaum lelaki juga tertanya-tanya bagaimana tudung itu boleh kekal rapi sepanjang perjalanan.Ada yang berseloroh meminta rakaman kamera papan pemuka (dashcam) daripada pengguna jalan raya lain yang mungkin berselisih dengan lelaki tersebut, semata-mata mahu melihat 'teknik rahsia' digunakannya."Lawaknya! Dengan naik motosikal tu, dia masih jaga tudung isteri dia. Hebat betul."Saya cuma nak tahu. Macam mana dia bawa tudung tu naik motosikal. Ada dashcam tak? Saya tertanya-tanya. Tolong hilangkan rasa ingin tahu saya."Mana-mana kereta yang ada rakaman dashcam abang ni jadi penyelamat sila kongsi ye. Nak tengok kaedah-kaedahnya bagi yang memerlukan untuk rujukan kemudian hari," komen beberapa netizen.Persoalan tersebut akhirnya terjawab apabila wanita berkenaan mendedahkan suaminya tidak melipat tudung itu.Sebaliknya, dia menggulung tudung secara longgar sebelum dimasukkan ke dalam beg bersaiz besar. "Dah tahu tip and trick suami saya. Dia kata jangan lipat. Gulung secara loose. Lepas tu letak dalam beg yang longgar (besar). Apabila sampai, cepat-cepat kibas."Lepas tu tip satu lagi... reda dan bersabar dapat isteri macam saya ni. Okey, saya sebagai isteri bagi A+," jelas si isteri berkongsi hal tersebut.