suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Nama muncul dalam SISPAA, cikgu terkejut ada waris beri penghargaan... Ramai sangka hanya saluran kritik orang ‘gomen’

Seorang pendidik pastinya mahukan yang terbaik untuk anak didiknya. -Gambar hiasan AI

RAMAI menyangka Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) hanya digunakan untuk membuat aduan atau mengkritik terhadap perkhidmatan kerajaan semata-mata.

Namun, seorang guru dikenali sebagai Mohd Farez Atan atau Cikgu Farez membuktikan platform berkenaan sebenarnya boleh dimanfaatkan untuk menyampaikan penghargaan apabila dia menerima surat pengiktirafan rasmi daripada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL).

Menerusi perkongsian di media sosial, Cikgu Farez memuat naik gambar surat penghargaan yang diterimanya daripada JPWPKL selepas seseorang mengemukakan maklum balas positif mengenai khidmatnya melalui SISPAA.

Berdasarkan surat bertarikh 22 Julai itu, JPWPKL memaklumkan pihaknya menerima maklum balas penghargaan terhadap Cikgu Farez melalui sistem berkenaan bagi bulan Julai 2026.

Dalam surat berkenaan, jabatan itu turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas dedikasi serta khidmat bakti yang diberikan selain mengekalkan kecemerlangan sebagai pendidik.

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen, terutama dalam kalangan ibu bapa yang baru mengetahui bahawa SISPAA bukan hanya digunakan untuk membuat aduan atau kritikan semata-mata.

Platform itu juga boleh dijadikan medium untuk menghargai penjawat awam yang memberikan perkhidmatan cemerlang.

Seorang ibu mengakui terinspirasi selepas melihat perkongsian itu dan bercadang melakukan perkara sama bagi menghargai guru yang pernah mengajar ketiga-tiga anaknya.

"Nak bagi SISPAA penghargaan ni macam mana ya? Perlu tahu nama penuh cikgu ke? Saya pun ada nak beri pada seorang guru Tahun Satu. Tiga anak saya telah diajar oleh dia.

"Apabila musim temu murni, sesi perjumpaan dengan dia paling lama sebab memang akan terangkan perkembangan setiap anak murid seorang demi seorang depan ibu bapa. Sangat peka dengan perkembangan murid," tulisnya.

Pertanyaan itu kemudian dijawab seorang individu yang menjelaskan proses menghantar penghargaan melalui SISPAA sebenarnya sangat mudah kerana hanya perlu sertakan nama guru, sekolah serta kelas atau darjah murid.

Laman web SISPAA untuk menghargai guru melalui saluran rasmi.

Cara beri penghargaan kepada guru melalui SISPAA:

Bagi ibu bapa atau orang awam yang ingin menghargai guru atau mana-mana penjawat awam, berikut langkah-langkah yang boleh dilakukan:

1. Layari portal SISPAA.

2. Pada ruangan Jenis, pilih Penghargaan.

3. Isi ruangan Tajuk mengikut kesesuaian, contohnya Penghargaan kepada guru Tahun Satu.

4. Pada ruangan Butiran, nyatakan sebab penghargaan diberikan. 

Ceritakan pengalaman menerima perkhidmatan yang baik dan sertakan maklumat seperti nama guru, nama sekolah serta kelas atau tahun murid bagi memudahkan semakan.

5. Pilih Kategori yang bersesuaian.

6. Muat naik Lampiran sekiranya mempunyai dokumen atau gambar berkaitan.

7. Lengkapkan maklumat peribadi seperti nama, nombor pengenalan, e-mel dan nombor telefon sebelum menghantar penghargaan.

Perkongsian Cikgu Farez itu turut mengingatkan orang ramai bahawa setiap usaha dan dedikasi seorang guru tidak semestinya dihargai dengan hadiah atau cenderamata semata-mata.

Kadangkala, beberapa minit meluangkan masa untuk menghantar penghargaan melalui saluran rasmi sudah cukup memberi pengiktirafan bermakna kepada mereka yang berkhidmat dengan penuh komitmen.

Artikel Lain