Nur Hazirah dan Nur Haziqah berharap dapat menjalani pembedahan koklea pada sebelah lagi telinga mereka.
MEMBESAR tanpa sebarang bunyi dan suara bukanlah satu perjalanan yang mudah.Namun, dua beradik perempuan dari Sabah kini berpeluang menikmati kehidupan yang lebih bermakna selepas akhirnya menerima 'anugerah' pendengaran yang amat berharga. Nur Hazirah Hamizan, 11, dan kakaknya, Nur Haziqah, 16, sebelum ini hanya mampu mengimpikan pengalaman biasa yang sering dipandang remeh oleh insan lain seperti mendengar suara guru di dalam kelas, bunyi loceng sekolah serta berkomunikasi dengan lebih mudah bersama orang sekeliling.Namun keajaiban mula menjelma pada tahun 2022 apabila kedua-duanya berjaya menjalani pembedahan implan koklea (cochlear implant) pada sebelah telinga, sekali gus mengubah seluruh takdir dan corak kehidupan mereka.Walaupun sekadar memperoleh pendengaran secara separa, dua beradik ini membuktikan keazaman tinggi mereka dengan menunjukkan perkembangan yang luar biasa.Mereka bukan sahaja semakin lancar bertutur, malah berjaya menguasai tiga bahasa serta meningkatkan prestasi akademik dengan ketara.Kini, harapan mereka untuk mendengar sepenuhnya kembali menyala.Mereka berpeluang menjalani pembedahan implan koklea pada kedua-dua belah telinga, yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai rawatan standard terbaik bagi mengatasi masalah kehilangan pendengaran yang teruk.Perunding Pusat Pakar Universiti Malaya (UM Specialist Centre), Prof Datuk Dr Prepageran Narayanan, yang menyokong rawatan mereka berkata, penggunaan implan pada kedua-dua telinga menawarkan kelebihan yang jauh lebih baik berbanding hanya sebelah.Pembedahan koklea pada sebelah telinga dijalankan pada 2022.Menurut beliau, prosedur itu mampu meningkatkan keupayaan mengenal pasti pertuturan dalam persekitaran bising, membantu mengenal pasti arah datangnya bunyi serta mengurangkan keletihan ketika mendengar.Pada masa sama katanya, remaja terbabit berpeluang berkomunikasi dengan lebih yakin selain memaksimumkan potensi pembelajaran mereka.Namun, di sebalik sinar harapan itu, ada ujian berat yang perlu didepani.Kos keseluruhan pembedahan itu mencecah RM150,000 iaitu satu angka yang terlalu besar dan berada jauh di luar kemampuan keluarga kecil ini.Apatah lagi bapa mereka, Hamizan Kong Abdullah, yang bekerja sebagai juruteknik jentera di sebuah ladang getah di Tawau, Sabah, merupakan satu-satunya tiang sandaran keluarga dengan pendapatan bulanan sekitar RM5,000 sahaja sebulan.Bebanan kewangan itu kian menghimpit apabila mereka bukan sahaja perlu melunaskan baki kos pembedahan pertama sebelum ini, malah terpaksa berulang-alik dari Tawau ke Kuala Lumpur.Perbelanjaan perjalanan, penginapan, dan temu janji susulan yang kerap benar-benar menguji poket serta emosi mereka.Setakat ini, hasil ihsan orang ramai, sebanyak RM30,000 berjaya dikumpulkan.Namun, perjalanan mereka masih panjang kerana masih memerlukan RM120,000 lagi untuk membolehkan pembedahan fasa kedua ini diteruskan.Selain kos pembedahan, keluarga ini juga buntu memikirkan perbelanjaan terapi pemulihan selepas pembedahan serta rawatan susulan jangka panjang yang perlu ditanggung demi masa depan anak-anak mereka.Bagi Nur Hazirah dan Nur Haziqah, implan koklea bukan sekadar alat bantuan pendengaran, sebaliknya membuka peluang untuk mereka terus cemerlang dalam pelajaran, berdikari serta membina masa depan yang lebih cerah.Dengan sokongan Star Foundation, keluarga itu kini merayu bantuan orang ramai bagi mengumpul baki dana yang diperlukan.Orang ramai turut disaran berkongsi kisah perjuangan dua beradik itu dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan menerusi media sosial bagi meningkatkan kesedaran serta membantu mereka mencapai sasaran kutipan dana.Sebarang lebihan sumbangan akan disalurkan kepada pesakit lain yang layak menerima bantuan perubatan menerusi Program Dana Perubatan Star Foundation.Star Foundation merupakan cabang kebajikan Star Media Group sejak 2015 yang membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan rawatan dan penjagaan bagi penyakit kronik melalui pembiayaan kos perubatan kritikal.Untuk maklumat lanjut, layari starfoundation.com.my