CERMIN bukan sekadar alat untuk melihat refleksi, malah ia merupakan elemen dekorasi yang mampu mengubah suasana bilik tidur. Apabila diletakkan di tempat strategik, cermin boleh memberikan ilusi ruang yang lebih luas dalam bilik tidur anda. Malah, cermin juga boleh memantulkan cahaya, sekali gus memberi suasana yang lebih cerah dan terang di kamar. Namun harus diingat, cermin tidak seharusnya diletakkan di mana-mana ruang sesuka hati anda sahaja. Cahaya berlebihan Anda perlu memahami bagaimana cermin berinteraksi dengan cahaya. Ia tidak sepatutnya diletakkan secara langsung bertentangan dengan tingkap, kerana ini boleh menghasilkan pantulan yang kurang menyenangkan. Lokasi cermin yang tepat boleh membuatkan bilik anda kelihatan lebih luas dan cerah. Elak letak cermin di tempat yang akan memantulkan sinaran matahari yang kadangkala terlalu terang. Bayangkan anda yang kepenatan mahu bangun lambat, namun terjaga seawal 7 pagi kerana pantulan cahaya matahari. Katil Selain itu, cermin juga tidak sepatutnya digantung dekat dengan katil anda. Jika cermin jatuh atau pecah, ia sudah tentu boleh mencederakan anda yang sedang tidur di atas katil. Antara lain, elak juga letak cermin berhadapan dengan katil. Ia boleh menyebabkan anda terkejut melihat diri sendiri dalam keadaan 'mamai' ketika bangun tidur. Malah, segelintir individu juga mudah berasa takut apabila melihat cermin ketika berada dalam bilik yang gelap. Lantai Antara pantang larang yang lain, elakkan letak cermin di atas lantai dengan hanya disandarkan pada dinding jika ada mempunyai anak kecil atau membela kucing. Ini kerana sentuhan yang minimal sahaja boleh menyebabkan cermin itu terbalik dan pecah. Bayangkan cermin anda pecah berderai dilanggar kucing yang sedang berlari atau terbalik kerana disentuh anak yang sedang belajar berjalan. Jadi, anda harus melihat semua pertimbangan ini sebelum meletakkan cermin di dalam bilik tidur anda.