APABILA sampai tempoh tertentu, anda perasan pendingin hawa kereta tidak lagi memberikan kesejukan seperti biasa. Menurut seorang pemuda di aplikasi TikTok, masalah ini mungkin boleh diselesaikan dengan menukar satu item sahaja. Namun katanya, ada pelanggan yang ditipu oleh mekanik atau pengusaha bengkel kerana kurang ilmu teknikal berkaitan kereta. "Aircond kereta anda selalu tak sejuk, kejap panas, kejap sejuk. Anda jangan skip video ni kalau tak nak kena tipu sebab benda kecil ni. Pemuda ini berkongsi cara--cara untuk memeriksa relay. "Untuk pengetahuan anda, benda ini namanya relay. Kebanyakan orang terutamanya perempuan selalu kena game, kena tipu dengan bengkel-bengkel. "Kalau jadi macam tu, cuba anda periksa relay," ujarnya menerusi akaun TikTok Altimat Auto Garage. Cara-cara Menurut pemuda itu, pemilik kereta boleh membuat pemeriksaan sendiri dan menukar relay mengikut arahan yang diberikan. "Ia berada dekat fusebox depan, anda boleh periksa sendiri. Anda boleh buka bonet, buka fusebox dan boleh tengok arahan yang tertera. "Anda kena cari perkataan AC (aircond), tengok kedudukannya di mana, lepas tu tukar saja," ujar individu itu. Tambahnya lagi, relay boleh dibeli pada harga yang murah di mana-mana kedai alat ganti kenderaan. "Anda pergilah ke kedai alat ganti dan cari relay ni. Ia berharga dalam RM18 ke RM20. Sebelum anda kena tipu kat luar sana habis ratus-ratus sampai ribu-ribu baik anda cuba dulu cara paling murah dan mudah. "Kalau dah tukar relay tapi masih tak sejuk juga, bawa datanglah ke bengkel," ujarnya lagi.