suria

Klasik! Idea 4 sepupu nak gembirakan jiran tetangga, kini ‘Kopi Jiran’ jadi buruan penggemar kopi

Kopi Jiran menampilkan konsep klasik dan antik yang membuatkan ia cukup menarik dan istimewa. Foto AZHAR MAHFOF

SAAT melangkah masuk ke perkarangan sebuah rumah di Kajang baru-baru ini, semerbak bau kopi yang enak selain mata dijamukan dengan landskap indah bertemakan era klasik.

Daripada pemilihan perabot antik sehinggalah aksesori seperti cawan, pinggan, meja cukup mengembalikan memori kepada zaman dahulu atau sekurang-kurangnya memberi gambaran sebenar kepada generasi baharu.

ARTIKEL BERKAITAN: Akan datang... Apple bangunkan teknologi bolehkan iPhone kesan pengguna alami kemurungan

Lagu klasik pula sayup-sayup kedengaran menyambut kehadiran pelanggan sebelum beratur menunggu giliran untuk membeli secawan kopi kampung.

file7hkdke2nxyv1b7chaen1

Kopi Jiran adalah idea empat sepupu yang berkongsi minat terhadap perniagaan dan kopi.

Kopi Jiran adalah tarikan terbaharu yang diusahakan secara sambilan oleh empat sepupu sejak sebulan lalu.

Bercerita mengenai warung mini itu, pemiliknya Wan Atiqa Misha Mohd Hairul memberitahu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perlu bekerja dari rumah telah membuatkan dia sentiasa berfikir cara mengisi masa terluang.

Atas sebab itu juga dia tampil dengan idea membuka warung kopi di halaman rumahnya yang diusahakan bersama sepupunya.

Inspirasi perniagaan kecil-kecilan itu kata Wan Atiqa, 25, adalah ingin menjamu jiran tetangga dengan secawan kopi tanpa perlu keluar ke kedai kopi apatah lagi dalam suasana pandemik ketika ini.

Kopi Jiran

Pengunjung mengambil peluang bergambar.

"Idea membuka Kopi Jiran ini berlaku secara tidak sengaja sebenarnya. Disebabkan rasa bosan duduk di rumah jadi saya mula berfikir-fikir apa boleh dilakukan bagi menghilangkan rasa bosan.

"Jadi saya dan tiga lagi orang sepupu berbincang menerusi panggilan video tentang pelbagai idea dan akhirnya kami pilih untuk menjual kopi.

"Sasaran pada awalnya memang untuk penduduk di kawasan rumah kerana mudah tidak perlu mereka keluar jauh-jauh beli kopi tetapi tak sangka pula ramai serbu sejak ia dibuka," katanya kepada mStar.

Perniagaan bersama tiga sepupu!

Bercerita lanjut mengenai Kopi Jiran, Wan Atiqa berkata, dia bersama tiga orang sepupunya iaitu Sophia Zaireen Mohammad Kamal, 35, Shahril Affendy Bakhtiar, 35 dan Sophia Mariah Mohammad Kamal, 22 yang menguruskan sendiri warung berkenaan.

file7hkdkgc5uc2orcjven2

Wan Atiqa tidak menyangka Kopi Jiran mendapat sambutan luar biasa pelanggan.

Katanya, dia memilih untuk bekerjasama dengan sepupunya itu kerana hubungan mereka memang akrab sejak kecil malah sentiasa melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama sebelum ini.

"Memang seronok dapat membuka perniagaan bersama sepupu sendiri kerana minat kami sama selain senang bekerjasama sebab kami semua 'sekepala'.

"Kami berempat mengambil masa dua minggu untuk membuat persiapan termasuk memilih menu dan jenis kopi yang ingin digunakan kepada pelanggan.

"Alhamdulillah kami mula beroperasi pada 31 Ogos lalu dan sambutan daripada jiran tetangga memang menggalakkan kerana kopi sesuatu yang disukai ramai," ujarnya.

file7hkdkhesn7cx0wvwen1

Nasi lemak seringgit turut menjadi buruan pelanggan.

Kopi 133 jadi pilihan pelanggan

Menyentuh mengenai kopi yang dijual, Wan Atiqa memberitahu dia memfokuskan kepada penggunaan kopi kampung kerana ia mempunyai keistimewaan tersendiri selain aromanya yang memikat dan rasanya lebih segar.

Di Kopi Jiran katanya. mereka turut menggunakan kopi tempatan yang dibeli daripada pembekal sebagai usaha menghidupkan kembali rantaian perniagaan dalam tempoh sukar ketika ini.

Malah katanya, kopi 133 menjadi signature Kopi Jiran yang menggunakan kopi kampung dan dibancuh dengan menggunakan tapis mengikut cara tradisional.

file7hkdkf6n1gn1j69even2

Antara koleksi barangan antik di Kopi Jiran.

Tidak hanya kopi kampung, terdapat sembilan jenis kopi lain seperti Americano, Mocha, Caramel Latte, Cokelat dan sebagainya.

"Paling istimewa kopi espresso yang disediakan menggunakan teknik seduhan manual Moka Pot bagi memastikan keaslian rasanya berbanding menggunakan mesin kopi atau dibancuh secara manual.

"Meskipun menggunakan kopi kampung tetapi kami ingin memberi pengalaman seperti minum kopi jenama mahal dan Alhamdulillah percubaan itu menjadi dan pelanggan suka terutamanya kopi 133," jelasnya.

file7hkdkinfi2c1945inen2

Proses membancuh kopi espresso menggunakan moka pot.

Tidak hanya kopi, Wan Atiqa memberitahu Kopi Jiran turut menjual pelbagai jenis pastri dan roti selain nasi lemak seringgit yang menjadi pilihan pelanggan.

"Nasi lemak seringgit itu dibuat oleh ibu saudara saya dan memang terkenal dalam kalangan penduduk di Kajang. Biasanya pelanggan memang akan borong nasi lemak itu dan antara juadah yang cepat habis di Kopi Jiran," katanya.

Dekorasi barangan antik milik ibu bapa

Bercerita keunikan Kopi Jiran, Wan Atiqa memberitahu dekorasinya adalah hasil idea kedua ibu bapanya yang kebetulan penggemar barangan antik.

Katanya, hampir 90 peratus barang-barang yang digunakan adalah milik ibu bapanya dan dekorasinya dibuat sendiri oleh mereka.

Kopi Jiran

Pasukan Kopi Jiran menjanjikan pengalaman luar biasa bagi yang merasai kopi di situ.

"Sejak dulu ibu bapa memang ada angan-angan nak buka sebuah gerai kopi tradisional dan apabila saya beritahu tentang idea itu mereka paling teruja.

"Ibu bapa turut sumbangkan pelbagai barangan antik mereka untuk dekorasi malah banyak beri idea bagi memastikan Kopi Jiran nampak seperti sebuah warung klasik," katanya yang turut memasang impian mengembangkan jenama Kopi Jiran selepas ini.

Kopi Jiran dibuka setiap hari Khamis hingga Ahad bermula pukul 11 pagi hingga 5 petang.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain