suria

Biomas di Malaysia mampu pergi jauh, kekalkan kelestarian kehidupan pada masa hadapan

OPT berpotensi untuk dijadikan produk tambah nilai seperti papan lapis (seperti gambar), papan serpai, papan laminasi, papan gentian dan perabot.

MALAYSIA cukup terkenal dengan kekayaan sumber semula jadi dan biodiversiti, justeru mengekalkan kelestarian kehidupan menerusi dasar sifar pembaziran adalah wajar termasuk mencipta satu ekonomi pekeliling dengan tenaga biojisim (biomas).

Biomas atau gentian semula jadi, adalah satu sumber alam yang boleh diperbaharui dan diperoleh daripada sisa pertanian, sisa perindustrian serta sumber kayu lain.

Sejumlah besar sumber biomas dihasilkan di negara ini setiap tahun menerusi pelbagai tanaman seperti kelapa sawit, kelapa, getah, kayu dan sekam padi.

ARTIKEL BERKAITAN: Kediaman cantik, kehidupan lebih tenang dengan perabot dan hiasan dalaman berasaskan kayu

Penyumbang terbesar industri biomas di Malaysia setakat ini adalah sektor minyak sawit. Ini kerana pokok kelapa sawit terdiri daripada sejumlah besar lignoselulosa iaitu dalam bentuk tandan kosong buah, serat mesokrap, tempurung kelapa sawit, pelepah dan batangnya.

Selain biomas kelapa sawit, biomas yang berkaitan dengan perhutanan juga adalah peluang besar untuk negara.

Walaupun sumbernya mungkin berbeza-beza, namun ia merangkumi sisa kilang papan dan papan lapis seperti potongan dan serpihan kayu, kayu dan serpihan kayu balak daripada ladang yang digunakan untuk penghasilan pulpa di kilang, papan serpai dan gentian serta hasil tanaman bukan kayu dengan tempoh masa kitaran pendek seperti buluh, tebu, jerami, kenaf, abaka dan sebagainya.



Sekam padi adalah salah satu sumber biomas.

Gentian kayu mempunyai ketumpatan yang rendah tetapi mempunyai nisbah kekuatan berbanding berat yang tinggi selain tidak berbahaya kepada alam sekitar dan boleh dibiodegradasi. Sehubungan itu, menarik minat industri perkayuan dan komposit untuk memanfaatkan biomas ini sebagai sumber bahan mentah alternatif mengantikan kayu.

Selulosa pula adalah komponen kimia utama dalam kayu atau gentian semula jadi. Susunan bahan kimia dan kerumitan struktur dinding sel menentukan prestasi dan kekuatan gentian tersebut.

Memahami industri biokomposit

Sejak berdekad yang lalu, kayu gergaji telah digunakan sebagai bahan mentah utama dalam penghasilan produk-produk berasaskan kayu dan biokomposit konvensional dalam industri berasaskan kayu.

Bagaimanapun, kekurangan kayu dari hutan semula jadi dan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar telah mula mencetuskan revolusi kayu komposit konvensional kepada biokomposit yang diperkukuhkan dengan gentian daripada sumber biomas.

Secara umumnya, terdapat dua jenis komposit utama dalam industri perkayuan - gabungan dua atau lebih bahan, termasuk elemen pengukuhan, pengisi dan pengikat matrik komposit iaitu kayu komposit konvensional komposit yang diperkukuhkan dengan gentian.

Bagi produk kayu komposit konvensional, ia biasanya dihasilkan dengan menggunakan kayu sebagai bahan utama dan penggunaan resin di dalam peratusan yang kecil sebagai elemen pengikat dan bahan tambahan lain.

Antara bahan mentah alternatif utama yang ada di negara ini untuk menghasilkan komposit kayu konvensional adalah batang kelapa sawit (OPT), yang berpotensi menjadi produk tambah nilai seperti papan serpai, papan laminasi, papan lapis, papan gentian dan perabot.

Pada masa ini, pengeluar venir dan papan lapis di Malaysia juga sudah memberi tumpuan kepada pengeluaran papan lapis OPT untuk kegunaan dalaman dan luaran.

Sebagai sumber bukan kayu, OPT juga berpotensi untuk digunakan sebagai bahan binaan untuk pelbagai aplikasi termasuk kayu venir berlaminasi.

Komposit yang diperkukuhkan dengan gentian pula diperbuat daripada campuran dua kompenan utama, gentian semula jadi yang bertindak sebagai elemen penguat dan juga resin atau matriks yang bertindak sebagai pengikat gentian tersebut untuk menghasilkan bahan yang lebih kuat dan mampat.

Komposit jenis ini dapat dibentuk atau diekstrak menyerupai bentuk kayu semula jadi, namun tahap kekuatan dan sokongan struktur yang terhasil setara dengan kayu keras.

Salah satu produk yang terhasil daripada komposit yang diperkukuhkan dengan gentian adalah komposit kayu plastik. Komposit kayu plastik ini sebenarnya telah digunakan secara skala besar seperti dek lantai, tangga, pelapis dinding, dan bahan struktur binaan di samping digunakan pada hampir semua bahan domain termasuk perabot rumah, automotif, aeroangkasa dan sebagainya.

Aplikasi penggunaan biomas yang inovatif seperti ini dapat memberi peluang untuk memperluaskan pasaran biokomposit serta meningkatkan pertumbuhan industri gentian dan biokomposit di Malaysia.

Peranan sokongan



FIDEC ditubuhkan untuk memudahkan aktiviti pengkomersialan R&D menggunakan pelbagai jenis sumber gentian semula jadi yang terdapat di Malaysia untuk produk biokomposit.

Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) telah menubuhkan Pusat Biokomposit dan Gentian (FIDEC) pada tahun 2008 dengan tujuan untuk menerajui pembangunan industri biokomposit dan gentian di Malaysia.

FIDEC mensasarkan pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk biokomposit menggunakan pelbagai jenis gentian semula jadi yang terdapat di Malaysia dengan menjalinkan kerjasama dan perkongsian pintar bersama universiti, institusi penyelidikan dan pihak industri.

Selain itu, FIDEC juga berfungsi sebagai pusat khidmat nasihat berkaitan dengan pembangunan produk dan teknologi yang bersesuaian untuk pembangunan industri gentian dan biokomposit serta menggalakkan penglibatan industri di dalam inovasi produk.

Pusat ini dilengkapi dengan pelbagai mesin-mesin, peralatan dan kemudahan pemprosesan yang berkaitan dengan gentian dan biokomposit. Selain itu juga, FIDEC juga telah memperluaskan fungsinya dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan pengujian berkaitan kayu, biokomposit dan komposit hijau termaju kepada industri.

Ini dilakukan menerusi enam makmal yang ditubuhkan di pusat itu, termasuk untuk ujian mekanikal, polimer, analitik, kimia, anatomi dan ujian perabot.

Ketika ini, 15 skop termasuk ujian mekanikal dan kimia telah diakreditasi, mematuhi MS ISO/ IEC 17025: 2017. FIDEC sedang dalam proses memperluaskan ruang lingkup baharu untuk ujian perabot dan lain-lain untuk memenuhi keperluan industri.

Selain itu, ia juga komited untuk terus memastikan sistem pengurusan kualiti makmal dilaksanakan dengan berkesan dan menyediakan perkhidmatan pengujian yang memenuhi piawaian antarabangsa.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain