suria

Boleh hadap berjam-jam hasilkan capal, graduan multimedia ini mahu martabatkan warisan yang semakin dilupakan

Meskipun mempunyai diploma dalam bidang multimedia, Muhammad Rusydi Rodzaki memilih kerjaya sebagai tukang buat selipar capal dalam meneruskan warisannya.

MUHAMMAD Rusydi Rodzaki mempunyai diploma dalam bidang multimedia tetapi anak muda ini memilih kerjaya sebagai pembuat capal.

Rusydi, memberitahu minatnya terhadap seni pembuatan capal itu bermula selepas dia menamatkan pengajiannya di salah sebuah kolej swasta di Sungai Petani, Kedah.

"Selepas tamat belajar saya pernah bekerja di butik rakan saya yang menjual pelbagai barangan kulit seperti dompet, tali pinggang dan capal.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga beradik angkat martabat seni anyaman gigih hasilkan supik mengkuang khas buat delegasi global

"Dari situ saya turut mempelajari untuk membaiki kasut dan selepas beberapa tahun bekerja dengannya, saya mula ada kemahiran dalam pembuatan barangan kulit terutamanya capal," kata pemuda berusia 28 tahun ini kepada The Star.



Rusydi belajar membuat capal semasa bekerja di sebuah butik menjual barangan kulit milik rakannya selepas menamatkan pengajian.

Bagaimanapun kata Rusydi, minatnya itu semakin mendalam apabila dia melancong ke India pada 2017.

Ketika berada di sana, dia sempat melihat bagaimana masyarakat di sana menghargai budaya mereka dengan mempelajari seni tradisional dan membuat selipar.

Kata Rusydi, dia cukup tertarik dengan capal dipakai oleh masyarakat India dan Pakistan iaitu capal Kolhapuri dan Peshawar yang mula diperkenalkan sejak ratusan tahun dahulu.

"Saya mula sedar dalam budaya masyarakat Melayu juga, kita mempunyai capal tradisional tersendiri yang telah digunakan sejak zaman Kesulatanan Melayu Melaka," jelasnya.



Jejaka berusia 29 tahun ini menerima tempahan bersempena Aidilfitri.

Rusydi menambah, dalam banyak-banyak jenis capal, capal Sunna dan tradisional Melayu paling banyak mendapat permintaan.

Sejak memulakan perniagaannya sendiri beberapa tahun lalu, tukul dan pahat membuat kasut menjadi teman baiknya dan Rusydi memberitahu dia boleh bekerja selama berjam-jam bagi menghasilkan capal yang berkualiti.

Pernah mempunyai butiknya sendiri di Batu Feringghi namun ia terpaksa ditutup tahun lalu berikutan tidak mendapat sambutan.

Kini, Rusydi lebih selesa bekerja dari rumahnya di Pondok Upeh selain menumpang di butik rakannya di Kongsi, Balik Pulau bagi memenuhi tempahan pelanggan.

"Tempahan untuk capal tahun ini agak kurang berbanding tahun lalu, mungkin disebabkan keadaan ekonomi dan faktor Covid-19 ketika ini," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Capal, Tradisional, Budaya, Aidilfitri, Figura

Artikel Lain