suria
mStar - Urban.Versatil

Tahun lepas gagal, Ramadan kali ini mesti berjaya! Ini 5 tip turun berat badan sepanjang bulan puasa

Pengambilan air yang mencukupi dapat membantu menurunkan berat badan sepanjang Ramadan.

RAMAI yang menyasarkan penurunan berat badan sepanjang bulan Ramadan kerana makanan dan minuman tidak diambil pada kadar biasa.

Bagaimanapun, kesilapan dalam diet boleh merencatkan usaha tersebut.

Anda yang ingin memastikan sasaran berat dicapai dalam tempoh sebulan, bolehlah mengikut saranan perunding kesihatan, pemakanan dan kecergasan Kevin Zahri di TikTok.

Ini lima tip untuk turunkan berat badan sepanjang Ramadan:

1. Bersahur

Amalan bersahur dapat membantu umat Muslim yang sedang berpuasa mengekalkan tenaga sepanjang hari.

Oleh itu, pengambilan protein dan fiber dapat membantu mengenyangkan sekali gus mengelakkan pengambilan makanan yang berlebihan semasa bersahur.

Makanan berprotein adalah ayam, ikan dan telur manakala fiber terdiri daripada sayur, oat, beras perang dan roti perang.

2. Minum air secukupnya

Pengambilan air yang mencukupi sepanjang bulan puasa adalah penting.

Jadi, pastikan air putih diambil semasa berbuka dan bersahur.

Tidak cukup air boleh mencetuskan nafsu makan yang tinggi.

Pengambilan makan berprotein tinggi dan fiber penting dalam diet seharian. -Gambar hiasan

Pengambilan makan berprotein tinggi dan fiber penting dalam diet seharian. -Gambar hiasan

3. Senaman berintensiti rendah

Bulan Ramadan bukan bulan untuk umat Islam 'bermalasan' atau berehat daripada aktiviti bersukan.

Apa yang boleh dilakukan adalah melakukan senaman berintensiti rendah sebelum berbuka puasa.

Tempoh 30 minit sebelum berbuka puasa adalah waktu terbaik untuk membakar lemak dalam keadaan tidak mempunyai glukosa badan.

Contoh senaman yang boleh dilakukan adalah brisk walk, badminton santai atau berjoging perlahan.

Paling penting, pastikan kadar degupan jantung berada dalam lingkungan 115 hingga 125 degupan dalam seminit.

4. Berhenti makan sebelum kenyang

Sebaiknya ambil makanan yang secukupnya semasa berbuka puasa dan tidak menikmatinya secara berlebihan dalam tempoh 20 minit pertama.

Berhenti makan sebelum kenyang dapat memastikan tubuh berada dalam keadaan baik.

5. Pastikan tidur mencukupi

Walaupun ramai ingin melakukan amalan sunat seperti solat tarawih, pastikan tidur sentiasa mencukupi.

Sekiranya anda tidak cukup tidur, badan akan menjadi stres seterusnya menggelorakan nafsu makan.

Ia mengakibatkan anda sukar mengawal pengambilan kalori.

Artikel Lain