SEORANG wanita terkejut selepas mendapati individu sebilik dengannya di wad bersalin di sebuah hospital di Lembah Klang melahirkan anak di usia muda.
Pada mulanya, dia menyangka gadis itu baru menyambut kelahiran anak pertama pada usia 19 tahun, namun rupanya itu adalah anaknya yang kelima.
Lebih mengejutkan anak sulung gadis berkenaan sudahpun berusia enam tahun.
“Dia mula hamil ketika darjah enam dan melahirkan anak pertama ketika tingkatan satu.
"Anak kedua berusia empat tahun, anak ketiga dua tahun, manakala anak keempat dan kelima yang baru lahir adalah kembar,” kongsinya di Threads.
Menurut wanita itu, kejadian itu berlaku empat tahun lalu.
Besar tanggungjawab ibu bapa dalam membesarkan anak-anak. -Gambar hiasan
Tambahnya, dia turut mendengar perbualan doktor yang menasihati gadis tersebut dan suaminya agar merancang kehamilan.
"Suami dia yang kena marah, doktor cakap... kenapa tak rancang ye? Isteri awak masih di kira bawah umur ye baru 19 tahun, tapi dah beranak lima. Awak tak kesian ke kat dia?," kongsinya.
Wanita itu memaklumkan, dia sendiri berkahwin muda pada usia 16 tahun, namun tetap menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum melahirkan anak pertama pada usia 18 tahun.
“Saya fikir saya dah muda masa beranak anak keempat pada umur 24 tahun, rupa-rupanya ada yang lebih muda daripada saya. Umur 19 sudah lima orang anak,” ujarnya.
Sementara itu Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan kehamilan remaja berlaku kepada seorang remaja perempuan yang berumur antara 10 hingga 19 tahun.
Kehamilan di usia muda adalah tidak digalakkan kerana ia akan memberi kesan-kesan berikut:
Kesan perubatan
- Proses bersalin yang sukar dan lama disebabkan tulang pinggul yang masih kecil.
- Tulang pinggul akan terbentuk dengan sempurna apabila mencapai peringkat umur wanita dewasa.
- Tekanan darah tinggi semasa hamil yang menyebabkan komplikasi seperti pendarahan, sawan dan boleh membawa maut.
- Bayi akan mempunyai berat lahir yang rendah.
- Kadar kematian ibu dan bayi yang lebih tinggi.
Kesan psikologi
- Hilang keyakinan diri
- Tekanan emosi
- Keresahan dan kebimbangan
- Kemurungan
- Bunuh diri
Kesan sosial
- Pendidikan terjejas
- Kurang peluang pekerjaan
- Masalah kewangan
- Pengguguran dan pembuangan bayi


