TERDAPAT individu pernah berdepan situasi tekanan darah tinggi ketika diperiksa di klinik, walaupun bacaan di rumah sentiasa normal.
Menurut Dr Hanif Arshad, fenomena ini dikenali sebagai white coat hypertension, keadaan di mana pesakit berdebar apabila berjumpa doktor, menyebabkan bacaan tekanan darah meningkat sementara.
Selain faktor cemas di klinik, bacaan tekanan darah juga boleh meningkat disebabkan aktiviti fizikal seperti berjalan laju dari tempat letak kereta atau tekanan emosi, contohnya memikirkan ahli keluarga yang sedang dirawat di hospital.
"Sebab tu kita galakkan sangat-sangat untuk pesakit monitor BP (membaca tekanan darah) sendiri di rumah. BP yang diambil waktu pagi, sebelum pergi kerja dan tengah tak kalut (tergesa-gesa).
"Tapi pastikan tulis atas kertas. Cakap mulut kadang doktor tak percaya," kongsinya di Facebook.
Mesin pengukur tekanan membantu mengesan penyakit darah tinggi. -Gambar hiasan
Bagi pemantauan, Dr Hanif mengesyorkan:
- Periksa tekanan darah dua hingga tiga kali seminggu selama seminggu hingga dua minggu.
- Jika bacaan systolic (nombor atas) melebihi 150 mmHg, segera berjumpa doktor.
- Bacaan melebihi 140 mmHg juga dikira tinggi, namun sesetengah doktor mungkin mempertimbangkan untuk menangguhkan pemberian ubat bergantung pada keadaan pesakit.
"Kenapa doktor sibuk sangat nak start ubat? Sebab kita nak elak dari komplikasi contohnya sakit jantung, strok dan rosak buah pinggang.
"Ubat tak rosakkan buah pinggang ya. Tekanan darah yang sentiasa tinggi tanpa dikawal itu punca utama buah pinggang rosak. Ingat tu," katanya.
Beliau menggesa individu berusia 30 tahun ke atas supaya memiliki mesin pengukur tekanan darah di rumah dan menggunakannya secara berkala, bukannya disimpan di almari tanpa digunakan.


