suria

Boleh ke bancuh susu anak guna air mineral? Ini perkara penting ibu bapa perlu tahu

Air mineral mempunyai risiko terhadap kesihatan bayi. -Gambar hiasan

SEBAHAGIAN besar ibu bapa beranggapan membancuh susu menggunakan air mineral lebih selamat berbanding air paip yang dimasak walaupun hakikatnya tidak.

Menurut Public Health Malaysia (PHM), terdapat risiko tersembunyi kepada bayi apabila air mineral digunakan untuk membancuh susu.

Jelasnya, air mineral yang diambil daripada mata air semula jadi sememangnya kaya dengan mineral seperti kalsium, magnesium, dan natrium. 

Walaupun bermanfaat untuk orang dewasa, kandungan mineral berlebihan boleh membebankan buah pinggang bayi yang masih belum matang.

"Air osmosis songsang (RO) pula bebas hampir semua mineral dan sangat bersih, tetapi jika tidak dididihkan, kuman masih berpotensi wujud.

"Air penapis rumah juga bergantung kepada jenisnya dengan ada yang sekadar menapis, ada yang menggunakan sistem RO namun tetap perlu dididihkan sekiranya suhu tidak mencapai 100 darjah celcius," katanya.

Air perlu dipanaskan sebelum dibancuh susu kepada bayi. -Gambar hiasan Air perlu dididihkan sebelum digunakan untuk membancuh susu bayi. -Gambar hiasan 

PHM berkata air paip pula mengandungi klorin untuk membunuh kuman, tetapi mungkin tercemar akibat saluran paip lama.

"Prinsip utamanya apa jua sumber air, ia mesti dididihkan sehingga mendidih penuh untuk membunuh kuman, kemudian disejukkan hingga kira-kira 40°C sebelum digunakan.

"Susu yang siap dibancuh perlu dihabiskan dalam masa dua jam," katanya.

PHM menasihatkan jika tiada pilihan selain menggunakan air mineral, pilih yang rendah natrium (kurang 200 mg/L) dan rendah sulfat (kurang 250 mg/L), dan pastikan ia tetap dididihkan terlebih dahulu.

"Setiap titis air yang digunakan hari ini akan menjadi darah daging si kecil, maka pilihlah yang paling selamat," katanya.

Artikel Lain