SEORANG wanita yang membawa anaknya menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan sempat 'mencuri' dengar perbualan jururawat menasihati ibu muda.
Menurutnya, pesakit yang dianggarkan berusia awal 20-an itu hadir sambil mendukung anak sulungnya yang baru berusia empat bulan dengan wajahnya kelihatan sugul, mata tertunduk, seolah-olah menahan sebak.
Jururawat terbabit dengan nada prihatin menegur pesakit tersebut kerana hamil semula dalam tempoh yang terlalu singkat.
“Awak tak kesian ke kat diri awak? Ni anak baru empat bulan, kata jururawat tu yang turut bersimpati sebab wanita tu datang tanpa ditemani suami.
"Jururawat tu kata lagi awak tahu tak bahaya? Tak boleh macam ni sayang. Awak janji dengan nurse nak rancang sendiri. Sekarang saya rasa menyesal tak paksa awak ambil perancang," kongsi wanita terbabit.
Katanya, walaupun teguran kedengaran jelas tetapi jururawat tidak meninggikan suara atau memalukan pesakit.
Malah, dia turut memberikan nasihat tentang tanda-tanda keguguran, serta cara mengurus anak kecil ketika sedang hamil.
Wanita disaran menunggu sekurang-kurangnya 24 bulan antara kelahiran terkini dan hamil semula. -Gambar hiasan
Sementara itu, Pantai Hospital menerusi hebahan di laman sesawangnya mengingatkan kepentingan dan kelebihan menjaga jarak kehamilan.
Pantai Hospital turut mengesyorkan untuk menunggu sekurang-kurangnya 24 bulan antara kelahiran terkini dan hamil semula.
Jarak yang mencukupi antara kehamilan membantu menggalakkan keseluruhan kesihatan dan kesejahteraan ibu dan anak dengan cara berikut:
1. Pemulihan fizikal ibu
- Kehamilan dan bersalin boleh menjejaskan tubuh wanita.
- Memberi masa badan untuk pulih antara kehamilan membolehkan ia sembuh daripada sebarang trauma fizikal atau ketegangan yang dialami semasa bersalin.
- Ini boleh mengurangkan risiko komplikasi pada kehamilan berikutnya dan meningkatkan kesihatan ibu secara keseluruhan.
2. Menambah nutrien dalam badan
- Kehamilan menghabiskan simpanan nutrisi badan kerana ia menyokong pertumbuhan janin.
- Jarakkan kehamilan membolehkan ibu menambah simpanan ini melalui diet seimbang dan suplemen yang sesuai, memastikan kesihatan optimum untuk ibu dan bakal cahaya mata.
3. Kesejahteraan emosi dan psikologi
- Keibubapaan bayi yang baru lahir memerlukan tenaga fizikal, emosi dan psikologi yang ketara.
- Jarak yang mencukupi antara kehamilan memberi masa kepada ibu untuk menyesuaikan diri dengan peranan baru mereka sebagai ibu bapa, ikatan dengan anak mereka, dan menangani sebarang cabaran selepas bersalin sebelum memulakan perjalanan kehamilan yang lain.
4. Mengurangkan risiko komplikasi kesihatan ibu
- Penyelidikan menunjukkan bahawa selang masa yang lebih pendek antara kehamilan dikaitkan dengan peningkatan risiko komplikasi ibu seperti kelahiran pramatang, berat lahir rendah dan preeklampsia.
- Jarak yang lebih panjang antara kehamilan telah ditunjukkan dapat mengurangkan risiko ini, menggalakkan hasil yang lebih baik kepada si ibu.
5. Perkembangan kanak-kanak yang optimum
- Selang kelahiran ebih panjang dikaitkan dengan hasil lebih baik untuk kanak-kanak, termasuk perkembangan kognitif yang lebih baik, mengurangkan risiko kelewatan perkembangan dan kadar penyakit kanak-kanak yang lebih rendah.
- Sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan kesihatan dan status pemakanan ibu semasa kehamilan berikutnya.
6. Peluang perancangan keluarga dipertingkatkan
- Jarakkan kehamilan membolehkan pasangan merancang saiz dan masa keluarga mereka mengikut keadaan, matlamat dan sumber masing-masing.
- Cara ini memberi peluang kepada ibu bapa untuk mempertimbangkan faktor-faktor seperti aspirasi kerjaya, kestabilan kewangan dan keperluan anak sedia ada apabila membuat keputusan untuk mengembangkan keluarga mereka.


