BEDAH siasat forensik ialah pemeriksaan perubatan terhadap mayat bagi menentukan punca, jenis dan cara kematian.
Tujuan utamanya adalah untuk mendapatkan bukti dan maklumat berkaitan kematian seseorang, terutamanya dalam kes kematian mengejut, jenayah, kemalangan atau yang disyaki melibatkan unsur jenayah.
Menurut Jurnal Antarabangsa Penyelidikan Kesihatan dan Amalan Perubatan-Perundangan, walaupun bedah siasat diterima di kebanyakan negara maju, ia masih diselubungi oleh salah faham, mitos dan emosi dalam kalangan masyarakat.
Kajian menunjukkan bahawa walaupun ada keluarga yang menerima bedah siasat untuk mengetahui punca kematian, 80 peratus menolaknya kerana bimbang mayat akan rosak.
Kebimbangan lain termasuk kelewatan pengebumian, penglibatan polis dan mahkamah, serta isu pengambilan organ.
Faktor-Faktor yang mempengaruhi penolakan:
1. Pendidikan
- Kajian di beberapa negara, termasuk Nigeria, menunjukkan bahawa tahap pendidikan mempunyai hubungan langsung dengan tahap penerimaan dan kefahaman terhadap bedah siasat.
- Individu dengan pendidikan tujuh hingga 12 tahun ke atas lebih cenderung memahami tujuan, termasuk peranannya dalam mengenal pasti punca kematian, membantu siasatan jenayah dan menyumbang kepada penyelidikan perubatan.
- Sebaliknya, masyarakat dengan kadar literasi rendah lebih terdedah kepada salah faham dan mitos seperti anggapan bahawa ia dilakukan untuk tujuan yang tidak wajar atau membahayakan roh si mati.
Bimbang mayat akan rosak menjadi punca ahli keluarga enggan membenarkan bedah siasat dilakukan. -Gambar hiasan
2. Kebimbangan terhadap mutilasi (kerosakan tubuh)
- Ketakutan bahawa bedah siasat akan merosakkan tubuh si mati merupakan sebab penolakan paling kerap disebut dalam kajian di India, Nigeria, Sweden, China, Zambia, dan Nepal.
- Ramai waris membayangkan bahawa bedah siasat meninggalkan tubuh dalam keadaan tidak sempurna dan mengganggu rupa asal si mati, sekali gus menimbulkan kesedihan tambahan.
- Hakikatnya, selepas bedah siasat, pakar forensik akan menjahit semula bahagian yang dibedah dengan kemas.
3. Kelewatan pengebumian
- Dalam banyak budaya dan beberapa tradisi Asia, pengebumian segera dianggap sebagai satu kewajipan.
- Bedah siasat kadangkala memerlukan masa tambahan untuk pemeriksaan yang boleh menangguhkan pengebumian selama beberapa jam atau hari, bergantung pada kes.
- Faktor masa ini sering menjadi alasan penolakan, terutamanya apabila ia bercanggah dengan adat atau kepercayaan agama.
- Dalam Islam, walaupun hukum syarak membenarkan bedah siasat dalam keadaan tertentu seperti kes jenayah atau wabak, masih ramai berasa berat hati kerana dianggap mengganggu kehormatan si mati.
Di Malaysia, sekiranya ahli keluarga tidak mahu menjalankan bedah siasat mereka perlu menandatangani 'Surat akuan enggan bedah siasat mayat atas kemahuan sendiri'.
Dalam dokumen tersebut, individu yang menandatanginya bersetuju bahawa tidak mensyaki apa-apa perbuatan jenayah telah berlaku atau dilakukan dan kematiannya adalah kematian biasa.
Selain tidak akan menuntut sebarang laporan bedah siasat daripada pihak hospital, atas tujuan medico-legal, tuntutan insuran dan lain-lain tuntutan.
Sebarang kemusykilan yang mungkin timbul atau berlaku adalah tanggungjawab individu yang menandatangani dokumen tersebut.


