KES buli di Malaysia kini dilihat tidak lagi terhad di kawasan sekolah semata-mata, sebaliknya telah menular ke alam siber.
Ahli Psikologi Klinikal Hospital Pakar Ampang Puteri, Ummu Nazra Nadzam berkata peningkatan kes buli secara bersemuka dan dalam talian kini menunjukkan situasi membimbangkan dengan peningkatan risiko bunuh diri dalam kalangan remaja.
Menurutnya, statistik Kementerian Pendidikan merekodkan 6,208 kes buli sekolah sehingga Oktober 2024 berbanding 4,994 kes pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima 8,399 laporan berkaitan buli siber dalam tempoh 11 bulan pertama 2024, purata 27 laporan sehari atau hampir lima kali ganda berbanding 2023.
Kajian
"Berdasarkan kajian pada 2022 melibatkan lebih 800 remaja, saya mendapati buli siber dan Fear of Missing Out (FOMO) menjadi faktor utama peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan anak muda.
"FOMO iaitu kegelisahan berterusan kerana takut tertinggal daripada pengalaman berharga boleh mendorong remaja terjebak dalam tabiat dalam talian yang tidak sihat, di mana perbandingan, persaingan, pencarian pengiktirafan menjadi dominan," katanya menerusi kenyataan.
Tambahnya, sesetengah remaja, kerana takut dipinggirkan sanggup menyertai perbuatan membuli untuk diterima kumpulan atau mengelak daripada menjadi mangsa.
"Media sosial menguatkan keadaan ini dengan lebih banyak mereka melihat rakan sebaya melakukan perbuatan negatif, lebih normal ia kelihatan.
"Kitaran 'tekanan rakan sebaya dan pengaruh dalam talian' ini mampu menjadikan remaja yang asalnya berempati menjadi pelaku buli," katanya.
Mangsa buli mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri. -Gambar hiasan
Kesan
Ummu Nazra turut memaklumkan kerosakan psikologi dalam kalangan mangsa jarang berhenti pada saat kejadian buli.
"Perasaan ditolak atau dipinggirkan boleh meningkatkan rasa kesunyian dan pengasingan dan mengurangkan keinginan untuk mendapatkan bantuan kerana malu atau takut balas dendam.
"Selain, meningkatkan kerentanan terhadap tingkah laku mencederakan diri atau kecenderungan bunuh diri," katanya.
Lebih memburukkan keadaan katanya, gangguan dalam talian mengekori remaja sehingga ke bilik tidur pada waktu malam yang menghapuskan ruang selamat yang sebelum ini wujud di luar sekolah.
Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 – Kesihatan Remaja
- 13.1 peratus remaja berumur 13 hingga1 7 tahun pernah mengalami pemikiran untuk membunuh diri dalam setahun yang lalu
- 10 peratus pernah merancang untuk membunuh diri
- 9.5 peratus pernah cuba membunuh diri
- 26.9 peratus menunjukkan simptom kemurungan
Tanda-tanda risiko bunuh diri
- Bercakap atau memuat naik tentang kematian, rasa tiada harapan, atau rasa menjadi beban
- Menarik diri secara tiba-tiba daripada kawan, keluarga, atau hobi
- Perubahan besar dalam pola tidur, selera makan, atau emosi
- Kesan mencederakan diri atau tingkah laku berisiko dan impulsif
- Penurunan kehadiran atau prestasi sekolah, terutama selepas konflik sosial


