PENYANYI terkenal Colombia, Maluma, menghentikan seketika konsertnya di Mexico City pada Ahad untuk menegur seorang ibu yang membawa bayi tanpa pelindung telinga.
Persembahan itu merupakan sebahagian daripada siri terakhir jelajah dunia +Pretty +Dirty World Tour yang akan berakhir pada 16 Ogos ini.
Menerusi video yang tular [Tonton Video], artis berusia 31 tahun bertanya kepada wanita tersebut mengenai usia anak kecilnya itu.
“Setahun? Kurang? Adakah anda rasa wajar membawa bayi berusia setahun ke konsert dengan tahap desibel (dB) setinggi ini? Bunyi kuat seperti ini boleh membahayakan.
"Bayi itu pun tak tahu apa yang sedang berlaku di sini. Lain kali, lindungi telinga mereka. Ini serius. Ia tanggungjawab anda. Anda melambai-lambaikannya seperti mainan.
"Bayi itu sebenarnya tak mahu berada di sini. Saya cakap ini dengan penuh kasih sayang dan hormat, lebih-lebih lagi sekarang saya seorang bapa… saya takkan pernah bawa anak saya ke konsert," katanya.
Jelajah +Pretty +Dirty World Tour melibatkan 21 persembahan, bermula pada 15 Mac di Barcelona, Sepanyol, dan dijadualkan berakhir di Guadalajara, Mexico.
Trauma emosi antara yang boleh berlaku terhadap bayi yang terdedah dengan bunyi terlalu kuat. -Gambar hiasan
Risiko bunyi bising terhadap bayi
Menurut American Academy of Pediatrics (AAP), bunyi melebihi 85 dB boleh merosakkan pendengaran jika terdedah dalam tempoh lama, manakala konsert biasanya mencapai 100 hingga120 dB, tahap yang cukup untuk menyebabkan kerosakan kekal pada telinga bayi.
Kerosakan pendengaran kekal
– Sel rambut halus di koklea bayi mudah rosak dan tidak dapat diperbaiki.
Stres dan trauma emosi
– Bunyi terlalu kuat boleh menyebabkan bayi menangis berterusan, degupan jantung meningkat, dan hormon stres dilepaskan.
Gangguan perkembangan
– Pendedahan berterusan kepada bunyi bising boleh menjejaskan kualiti tidur, perkembangan otak, dan keupayaan pembelajaran awal.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menasihatkan had pendedahan bunyi untuk kanak-kanak ialah 75 dB jika berterusan atau maksimum 100 dB selama tidak lebih empat jam.
Untuk acara bising seperti konsert, pakar mengesyorkan penggunaan earmuff khas bayi dan mengelakkan membawa mereka ke persekitaran bunyi ekstrem.


