FENOMENA lelaki kelihatan lebih lemah, terlebih manja dan seperti 'berdrama' apabila demam berbanding wanita bukannya dibuat-buat, sebaliknya disokong oleh penjelasan saintifik.
Menurut pegawai perubatan yang dikenali sebagai Dr Amy, faktor utama yang mempengaruhi keadaan tersebut adalah disebabkan perbezaan hormon.
Katanya, hormon testosteron yang dominan pada lelaki boleh melemahkan sistem imun dalam jangka masa panjang, manakala hormon estrogen yang tinggi pada wanita membantu menguatkan daya tahan tubuh.
“Ini menjelaskan mengapa wanita biasanya kelihatan lebih tenang dan cepat pulih apabila demam, berbanding lelaki yang mungkin mengalami gejala lebih berat,” katanya.
Dr Amy memaklumkan selain faktor biologi, tingkah laku juga memainkan peranan.
"Kajian mendapati lelaki lebih cenderung menunjukkan rasa tidak selesa kerana mereka jarang mengekspresikan kesakitan dalam keadaan normal.
"Akibatnya, ketika jatuh sakit, reaksi mereka kelihatan lebih dramatik," katanya menerusi perkongsian di TikTok [Tonton Video].
Tegasnya, tanggapan bahawa lelaki ‘mengada-ngada’ ketika demam adalah kurang tepat, kerana terdapat bukti saintifik dari sudut imunologi dan hormon yang menyokong keadaan tersebut.
Mendapatkan rawatan adalah jalan terbaik untuk mengubati penyakit. -Gambar hiasan
Penjelasan saintifik di sebalik fenomena ini
1. Faktor hormon
- Hormon utama lelaki adalah testosteron, manakala bagi perempuan adalah estrogen.
- Dalam jangka masa panjang, testosteron boleh melemahkan sistem imun, manakala estrogen pula membantu menguatkan daya tahan badan.
- Sebab itu lelaki kadangkala mengalami gejala demam yang lebih teruk.
2. Faktor tingkah laku
- Kajian menunjukkan lelaki cenderung untuk menunjukkan ketidakselesaan dengan lebih jelas kerana mereka tidak biasa mengekspresikan rasa sakit dalam situasi normal.
- Jadi, bila sakit, reaksi mereka kelihatan lebih dramatik.


