suria

Pandangan Islam, sains di sebalik jenazah Zara Qairina masih utuh... Jangan hilang fokus tujuan kubur digali semula

Proses penggalian semula kubur arwah Zara Qairina pada Sabtu mengambil masa kira-kira dua jam.

JENAZAH Allahyarham Zara Qairina Mahathir dikatakan masih utuh dan berada dalam keadaan baik selepas digali semula pada 9 Ogos lalu walaupun hampir tiga minggu disemadikan.

Di media sosial, timbul pelbagai dakwaan mengenai keadaan jasad arwah dengan ada yang menyatakan ia masih dalam keadaan baik dan berbau wangi, manakala ada yang menafikannya. 

Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Ustaz Rafie Zainal berkata perdebatan itu mencetuskan persoalan  bagaimana Islam menuntut masyarakat agar memperhalusi isu ini dengan harmoni.

1. Prinsip asas Islam: Mengelakkan spekulasi yang tidak perlu

"Islam melarang kita membuat kesimpulan tanpa ilmu atau bukti yang jelas. Allah berfirman: Dan janganlah engkau mengikuti sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan tentangnya.

"Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan dipertanggungjawabkan. Surah Al-Isra’ 17:36," katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Jelasnya, ia bermaksud jika ada berita bahawa jenazah berbau wangi dan masih utuh, kita tidak wajib menolak atau menerima bulat-bulat.

"Kita perlu mengutamakan tabayyun (penelitian) dan menyerahkan penilaian sahih kepada pihak berautoriti seperti forensik, polis, dan saksi yang diyakini," katanya.

2. Fenomena jenazah utuh dan wangi: Tidak mustahil dalam Islam

Menurut Rafie lagi, dalam sirah dan hadis sahih, terdapat kisah jenazah para syuhada atau hamba Allah yang soleh yang jasadnya kekal utuh dan berbau wangi. 

"Hadis riwayat Jabir bin Abdullah r.a tentang ayahnya, Abdullah bin Haram (syahid di Uhud), yang jasadnya tidak berubah walaupun dikebumikan bertahun-tahun (Riwayat al-Bukhari no. 1,344, Muslim no. 2,460).

"Ia kisah para syuhada Perang Mu’tah yang jasadnya berbau harum dan mengalirkan darah segar walaupun sudah dikuburkan.

"Ini membuktikan secara aqidah, bukan mustahil Allah memelihara jasad seseorang sebagai tanda kemuliaan. Namun, fenomena ini tidak boleh dijadikan bukti muktamad tanpa penelitian yang sahih," katanya.

Orang ramai datang untuk menyaksikan proses penggalian semula kubur arwah Zara Qairina.Orang ramai datang untuk menyaksikan proses penggalian semula kubur arwah Zara Qairina.

3. Fakta saintifik: Faktor-faktor yang mempengaruhi pereputan

"Secara sains forensik, pereputan jenazah boleh diperlambatkan oleh faktor seperti jenis tanah (tanah liat atau berasid); kedalaman liang lahad dan suhu rendah atau kelembapan tertentu.

"Selain itu cara jenazah dikafan dan dibungkus; serta keadaan kesihatan sebelum meninggal.

"Ini bermaksud kemungkinan jenazah masih utuh selepas tiga minggu tidak bercanggah dengan logik sains, walaupun bukan kebiasaan," katanya.

4. Fokus utama: Keadilan buat arwah

Menurut Rafie, masyarakat perlu sedar bahawa tujuan utama penggalian semula kubur arwah adalah untuk siasatan dan mencari kebenaran bagi menegakkan keadilan. 

"Nabi bersabda: Tolonglah saudaramu sama ada dia zalim atau dizalimi. Sahabat bertanya Wahai Rasulullah, bagaimana menolong jika dia dizalimi?

"Baginda menjawab: Engkau menolongnya dengan menghalang kezaliman yang menimpanya. (Riwayat al-Bukhari no. 2,444).

"Maka, dalam kes ini, jika arwah dizalimi, tugas kita adalah membantu mencari bukti dan menegakkan keadilan," katanya.

Justeru, katanya perbahasan keadaan jenazah tidak sepatutnya mengalih fokus daripada tujuan ini.

5. Adab dalam berbicara mengenai jenazah

"Rasulullah mengingatkan: Sebutlah kebaikan orang-orang yang telah meninggal dunia dan jauhilah menyebut keburukan mereka. (Riwayat Abu Dawud no. 4,900)

"Justeru, walaupun kita berbicara tentang keadaan jenazah, ia mestilah dengan niat untuk kebaikan, bukan bahan perdebatan yang memecah-belahkan masyarakat," katanya.

Secara kesimpulannya, beliau menegaskan fenomena jasad kekal utuh bukanlah mustahil daripada sudut agama dan sains, namun ia memerlukan bukti dan pengesahan pihak berautoriti.

Masyarakat digesa memberi ruang kepada siasatan demi keadilan, serta mendoakan agar arwah dan keluarganya mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Artikel Lain