suria

[V] Viral rakaman pelajar IPT disuruh berjemur, ‘dihukum’ bawah terik matahari… Awas mangsa terdedah masalah jantung, strok haba

Sekumpulan pelajar baharu IPT melakukan senaman plank ketika cuaca panas.

SEKUMPULAN pelajar lelaki melakukan senaman plank di atas lantai konkrit di bawah terik matahari ketika suhu mencecah 35 darjah Celsius, dipercayai sebagai sebahagian aktiviti minggu orientasi di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT).

Video berdurasi kurang seminit itu dimuat naik di TikTok [Tonton Video] dan mencetuskan perdebatan mengenai budaya ragging, senioriti, serta keperluan amalan tersebut dalam sistem pendidikan moden.

Berdasarkan keterangan video, insiden itu berlaku pada hari kedua kemasukan pelajar baharu ke kampus yang menyediakan pendidikan vokasional berkenaan.

Tidak pasti sama ada aktiviti itu sebahagian daripada minggu suai kenal atau tidak kerana tiada kelibat fasilitator dilihat.

Berdasarkan komen netizen, ada yang beranggapan ia adalah perkara biasa dan mereka yang menolak budaya itu dianggap manja.

"Ketahanan mental perlu bagi student kemahiran, bukan saja-saja kena macam tu, respect cara orang lama mendidik.

"Hidup jangan terlalu dimanjakan, perlu diajar untuk patuh pada arahan," kata mereka.

Namun ada sebahagian warga maya menganggap amalan itu sudah melampaui batas dan boleh mendatangkan bahaya kepada pelajar.

Cuaca panas melampau boleh mengakibatkan strok haba. -Gambar hiasanCuaca panas melampau boleh mengakibatkan strok haba. -Gambar hiasan

Daripada sudut kesihatan, apabila seseorang terdedah kepada panas melampau dalam tempoh lama, terutamanya ketika melakukan aktiviti fizikal, tubuh akan mengalami tekanan haba.

Antara risiko yang boleh berlaku:

1. Dehidrasi

- Berpeluh berlebihan menyebabkan kehilangan air dan garam mineral (elektrolit) dalam badan.

- Gejala awal: dahaga melampau, bibir kering, pening, kulit panas dan kering.

- Dalam kes pelajar plank di atas lantai panas, risiko dehidrasi lebih tinggi kerana mereka berpeluh tanpa bekalan air mencukupi.

 2. Kejang haba 

- Kekurangan elektrolit boleh menyebabkan otot menjadi kejang, terutama pada kaki, lengan, atau perut.

- Dalam senaman plank, otot teras dan lengan bekerja keras, meningkatkan risiko kejang jika tubuh sudah kekurangan garam.

3. Keletihan haba 

- Berlaku apabila badan gagal mengawal suhu dengan baik.

- Gejala: pening, lemah badan, mual, muntah, degupan jantung laju, kulit pucat dan berpeluh banyak.

- Ini adalah tanda amaran sebelum berlakunya strok haba.

4. Strok haba 

- Suhu badan meningkat melebihi 40°C kerana pendedahan panas yang berterusan.

- Gejala: kekeliruan, sawan, pengsan, atau koma.

- Keadaan ini adalah kecemasan perubatan dan boleh membawa maut jika tidak dirawat segera.

5. Kesan jangka panjang

- Pendedahan berulang kepada panas ekstrem boleh menjejaskan fungsi buah pinggang akibat dehidrasi kronik.

- Risiko gangguan jantung juga meningkat bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada.

Artikel Lain