GOLONGAN lelaki perlu lebih peka terhadap simptom awal kanser zakar yang kini meragut lebih banyak nyawa berbanding kanser testis.
Menurut pakar dari Britain, Dr Mark Porter, kanser zakar sering tidak disedari kerana simptomnya mirip kepada jangkitan ringan dan keradangan biasa yang sering dipandang remeh atau dianggap malu untuk dibincangkan.
"Simptom awal mungkin tidak serius, tetapi jika dibiarkan, boleh membawa kepada rawatan agresif termasuk pengamputasian zakar," katanya.
Tegasnya, pengamputasian zakar merujuk kepada prosedur pembedahan untuk membuang sebahagian atau keseluruhan zakar.
Meskipun dianggap jarang berlaku dan lazimnya menyerang lelaki berusia lebih 50 tahun, statistik menunjukkan peningkatan kes secara konsisten.
Di United Kingdom (UK) sahaja, kira-kira satu daripada 400 lelaki didiagnosis menghidap kanser ini setiap tahun, dengan kadar kematian dua kali ganda lebih tinggi berbanding kanser testis.
Menurut Cancer Research UK, sebanyak 63 peratus kes kanser zakar sebenarnya boleh dicegah, terutamanya dengan pengesanan awal dan penjagaan kesihatan seksual yang baik.
Rawatan awal dapat mencegah penularan penyakit daripada makin kritikal. -Gambar hiasan
Simptom awal yang perlu diberi perhatian termasuk:
- Perubahan warna kulit zakar seperti merah atau coklat kebiruan
- Ketulan atau benjolan di zakar atau kawasan groin
- Luka yang tidak sembuh dalam masa empat minggu
- Ruam yang berterusan
- Lelehan luar biasa
- Kesukaran menarik kulit kulup ke belakang (phimosis)
- Pendarahan atau kesakitan ketika hubungan intim
Pesakit juga mungkin mengalami gejala lain seperti penurunan berat badan mendadak, keletihan melampau, dan sakit perut.
Dr Porter menjelaskan bahawa pengesanan awal membolehkan rawatan yang lebih ringan seperti penggunaan krim kemoterapi dan terapi laser.
Namun jika diagnosis lewat dibuat, rawatan lebih radikal termasuk pembedahan besar, pembuangan nodus limfa, malah pengamputasian zakar mungkin diperlukan.
Pesakit juga perlu menjalani pembinaan semula zakar melalui pembedahan menggunakan tisu dari bahagian badan lain.
Faktor yang meningkatkan risiko termasuk:
- Jangkitan HPV (human papillomavirus) disebarkan melalui hubungan seksual atau sentuhan kulit ke kulit
- Merokok
- Sistem imun yang lemah seperti penghidap HIV
- Kurang menjaga kebersihan alat sulit
Dr Porter turut menyatakan bahawa sunat ketika kecil terbukti mengurangkan risiko jangkitan yang berkait rapat dengan kanser zakar.
"Golongan lelaki diseru agar tidak malu mendapatkan pemeriksaan jika mengesan sebarang perubahan luar biasa pada alat kelamin.
"Diagnosis awal bukan sahaja menyelamatkan nyawa, malah mampu mengelakkan rawatan drastik seperti pengamputasian.
"Ada kemungkinan hasil pemeriksaan tidak seteruk yang anda bayangkan tetapi itu bukan alasan untuk bertangguh,” tegas Dr Porter.


