suria

Anak maut 8 jam lepas langgar penghadang mungkin selamat jika bapa tahu pentingnya 'golden hour'

Rawatan segera selepas kemalangan penting untuk menyelamatkan nyawa. -Gambar hiasan

INSIDEN membabitkan murid tahun enam yang dilaporkan meninggal dunia lapan jam selepas terbabit dalam kemalangan motosikal di Paloh, Johor pada Isnin memberi pengajaran kepada kita tentang pentingnya rawatan segera dalam tempoh kritikal dikenali sebagai 'golden hour'.

Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, mangsa, Muhammad Harith Isyraf Yuzaini, 12, bersama keluarganya bertandang ke rumah saudara mereka di Paloh untuk ziarah kematian.

Ketika di sana mangsa turut menunggang motosikal untuk ke kedai, namun motosikal yang ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar batu penghadang jalan.

“Selepas kejadian, mangsa dibawa ke beberapa klinik swasta di Kluang dan Gelang Patah.

"Mangsa turut dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, namun bapanya memilih untuk membawa pulang anaknya ke rumah,” katanya.

Dalam konteks trauma dan kecederaan serius terutamanya akibat kemalangan, 'golden hour' merujuk kepada 60 minit pertama selepas insiden, di mana tindakan perubatan yang cepat boleh menjadi penentu antara hidup atau mati.

Objektif utama

Dalam satu jam pertama ini, objektif utama adalah untuk menghentikan pendarahan, membantu mangsa bernafas dan menghubungi bantuan kecemasan.

Selain itu, segera bawa mangsa ke pusat perubatan berhampiran di mana rawatan boleh dimulakan oleh pegawai kesihatan yang terlatih.

Jika pesakit tidak dirawat dalam tempoh ini, risiko kematian atau komplikasi meningkat drastik.

Tanpa rawatan segera selepas kemalangan, pesakit boleh mengalami kematian mendadak, walaupun kelihatan masih stabil. -Gambar hiasanTanpa rawatan segera selepas kemalangan, pesakit boleh mengalami kematian mendadak, walaupun kelihatan masih stabil. -Gambar hiasan

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menekankan bahawa kanak-kanak lebih berisiko kerana organ dalaman mereka lebih kecil dan rapuh.

Tubuh mereka juga lebih sensitif terhadap pengurangan darah kerana kehilangan sedikit sahaja boleh menyebabkan tekanan merosot.

Selain itu, respon fisiologi terhadap trauma sangat cepat dan boleh tidak sedarkan diri dalam masa singkat.

Ia berikutan kecederaan dalaman seperti pendarahan, kerosakan organ atau trauma otak sering tidak kelihatan dari luar.

Tanpa rawatan segera, pesakit boleh mengalami kejutan, kegagalan organ, atau kematian mendadak, walaupun kelihatan masih stabil.

Kes seperti Muhammad Harith Isyraf seharusnya membuka mata semua pihak bahawa walaupun dari sudut mata kasar kecederaan dialaminya dilihat tidak serius tetapi boleh mengorbankan nyawa.

Gunakan 'golden hour' sebaiknya kerana setiap minit selepas kemalangan sangat penting dan jangan sesekali berlengah untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan segera.

Artikel Lain