suria

Isteri bertarung nyawa lahirkan anak, suami kena buat apa? Ini tip berguna untuk bakal bapa sambut kelahiran

Kehadiran suami memberi kekuatan kepada isteri sebelum bersalin. -Gambar hiasan AI

MENYAMBUT kelahiran cahaya mata, khususnya anak pertama, adalah antara detik paling bermakna dalam hidup pasangan suami isteri.

Namun bagi si isteri, proses melahirkan anak bukan sekadar pengalaman indah, malah ia juga menuntut kekuatan fizikal dan mental yang luar biasa.

Pegawai Perubatan Obstetrik dan Ginekologi di Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Muhammad Izzat Abdul Razak berkata dalam situasi sebegini, peranan suami amat penting sebagai penyokong utama. 

Berikut antara tip berguna buat para suami yang bakal menemani isteri di saat getir melahirkan anak.

1. Fahami kehendak isteri

Bincang awal dengan isteri tentang kehendak dan keperluannya semasa bersalin, suami kemudian bertanggungjawab menyampaikan maklumat tersebut kepada doktor atau jururawat.

2. Bawa keperluan diri

Walaupun tumpuan diberikan kepada ibu hamil, suami juga perlu bersedia dengan membawa pakaian, selipar, makanan ringan dan minuman.

Anda mungkin perlu bermalam di hospital. Jangan sampai lapar atau tidak selesa mengganggu fokus anda untuk membantu isteri.

3. Buat persediaan awal

Hadiri kelas antenatal bersama isteri. Fahami proses kelahiran dan istilah perubatan asas supaya anda tidak terpinga-pinga di bilik bersalin nanti kerana pengetahuan itu amat berguna saat kecemasan.

4. Bersikap sabar dan fleksibel

Proses bersalin boleh mengambil masa berjam-jam, malah ada yang berlarutan hingga lebih sehari. Bersabar, jangan mendesak staf perubatan mempercepatkan proses.

Ingat, mereka juga manusia bukan ada kuasa ajaib untuk ‘keluarkan’ bayi mengikut kehendak anda.

5. Bantu alihkan perhatian isteri

Ketika kontraksi mula memuncak, bantu isteri kekal tenang. Urut belakang atau tapak kakinya serta bantu kawal pernafasannya.

Teknik ini boleh dipelajari dalam kelas antenatal dan sangat membantu untuk kurangkan tekanan isteri.

Memiliki cahaya mata impian setiap pasangan berumah tangga. -Gambar hiasan AI

6. Lakukan apa sahaja demi isteri

Berikan sokongan penuh untuk isteri daripada soal belikan air hingga berunding dengan doktor. 

Walaupun ada ramai staf di sekeliling, anda tetap tonggak emosi buat isteri yang sedang berjuang melahirkan zuriat anda bersama.

7. Tahu batas diri

Bilik bersalin boleh menjadi suasana yang sibuk dan mencabar. Jangan terlalu masuk campur dalam hal klinikal, tetapi fahami peranan anda. 

Jika anda mudah mabuk darah, bersedialah kerana ada kes suami pengsan melihat darah isteri sendiri.

8. Bersedia membuat keputusan penting

Kadangkala, keputusan perubatan perlu dibuat segera. Jika isteri tidak berdaya membuat keputusan, maka suami yang perlu mewakili keluarga.

Percayakan nasihat doktor dan elakkan meminta pandangan ahli keluarga lain yang tidak berada di tempat kejadian.

9. Bersedia untuk menunggu

Proses kelahiran tidak seperti dalam filem kerana kontraksi boleh berlaku lama sebelum bayi benar-benar dilahirkan. 

Banyak hospital juga menyarankan ibu menunggu kontraksi lebih kerap sebelum masuk ke dewan bersalin. Bersabarlah dan temani isteri dengan tenang.

10. Hadirkan diri, jangan 'lepas tangan’

Kehadiran suami ketika isteri bersalin bukan sekadar simbolik, malah memberi kekuatan emosi yang besar buat isteri. 

Jangan serah bulat-bulat pada hospital, sebaliknya berada di sisi isteri ketika dia melahirkan anak anda akan menjadikan hubungan suami isteri lebih erat dan dihargai.

Artikel Lain