suria

[V] “Bau itu melekat pada badan!” - Gadis trauma, syak pelancong asing tak cuci najis sebelum terjun kolam

Tidak menjaga kebersihan ketika di kolam renang boleh mengundang risiko penyakit. -Gambar hiasan AI

SEORANG gadis meluahkan rasa kecewa terhadap segelintir pelancong asing yang dikatakan tidak mengamalkan kebersihan diri secukupnya, terutama apabila berada di tempat awam seperti kolam renang.

Menerusi hantaran video di TikTok [Tonton Video], gadis terbabit menyuarakan teguran kepada pelancong bukan beragama Islam yang mungkin tidak biasa menggunakan air selepas membuang air besar.

Dia berkongsi pengalaman menjijikkan itu ketika berkongsi jakuzi dengan beberapa pelancong asing semasa bercuti di Terengganu.

"Mula-mula semuanya tenang. Kemudian saya nampak dua wanita asing yang memakai bikini datang bersantai.

"Tiba-tiba, saya hidu bau yang sangat busuk. Ingatkan bau klorin tapi lepas keluar dari jakuzi saya sedar bau itu melekat pada badan dan pakaian saya,” katanya.

Gadis itu mendakwa, bau tersebut mengingatkannya kepada tandas yang tidak dicuci, sekali gus menimbulkan persoalan tentang tahap kebersihan pelancong terbabit.

"Masa tu baru saya sedar mungkin mereka tak cuci bahagian sulit selepas buang air. Saya bukan benci, tapi tolonglah jangan bawa ‘tenaga kotor’ masuk ke dalam air.

"Sampai sekarang saya masih rasa trauma. Mungkin germofobia tapi sumpah, saya rasa macam mandi dalam sesuatu menjijikkan. Tolonglah.. basuh punggung anda," katanya.

Kolam renang merupakan tempat tumpuan ramai ketika bercuti. -Gambar hiasan AIKolam renang merupakan tempat tumpuan ramai ketika bercuti. -Gambar hiasan AI

Sementara itu, berdasarkan hantaran Public Health Malaysia (PHM) di Facebook, individu terutama kanak-kanak boleh mengalami Recreational Water Illness (RWI) iaitu jangkitan yang berpunca daripada air tercemar di kolam, spa, sungai atau laut.

"Sekiranya air yang mengandungi kuman masuk ke saluran penghadaman, anak-anak akan mengalami gejala muntah dan cirit birit.

"Kuman yang masuk ke mata dan telinga boleh menyebabkan jangkitan di bahagian-bahagian tersebut. Mata akan menjadi pedih dan kemerahan," katanya.

Selain itu, sekiranya terdapat luka dan kecederaan pada kulit, kuman juga boleh masuk ke tubuh menerusi luka.

"Jangkitan pernafasan seperti batuk, sakit tekak dan selsema juga boleh berlaku apabila kuman meruap dan masuk ke saluran pernafasan," katanya.

Menurut PHM, walaupun kolam dibersihkan dengan klorin, ia tidak berkesan jika air tercemar dengan najis atau air kencing. Malah, bau klorin yang kuat mungkin tanda air sudah bercampur kekotoran.

"Sebagai langkah pencegahan jangan kencing atau berak dalam kolam, jangan benarkan anak mandi jika sakit dan basahkan badan sebelum masuk kolam.

"Elak berenang jika ada luka terbuka, gunakan lampin khas untuk berenang dan jangan minum atau berkumur dengan air kolam," katanya.

Artikel Lain