JANGAN basuh rambut anak masa demam, nanti lambat sembuh antara petua yang sering diucapkan oleh orang tua-tua.
Namun benarkah ia berbahaya, atau sekadar mitos turun-temurun?
Pakar Pediatrik dan Kesihatan Kanak-Kanak, Dr Nisa Khalil tampil menjelaskan perkara tersebut berdasarkan fakta perubatan.
"Tak ada bukti saintifik yang mengatakan basuh rambut semasa demam itu bahaya.
"Yang penting, guna air suam, jangan lama sangat dan lepas basuh terus lap kemudian keringkan betul-betul.
"Bila anak bersih, lagi mudah dia rehat, kurang risiko kulit kepala gatal atau ruam,” tegas beliau menerusi perkongsian di Thread.
Demam akan membuatkan seseorang berasa lemah dan tidak mempunyai selera makan. -Gambar hiasan
Dr Nisa turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak membiarkan anak yang demam mandi terlalu lama.
"Pastikan air tak terlalu sejuk atau panas, jangan mandi lama dan rambut kering sepenuhnya lepas tu.
"Kalau anak tengah menggigil atau demam tinggi sangat, cukup lap badan dulu. Bila dah okay sikit, baru proceed basuh," katanya.
Tambahnya lagi, tidak salah untuk mendengar petua lama tetapi janganlah sampai anak berasa tidak selesa.
"Parents, trust yourself...bila anak bersih, mak pun tenang. Tak salah dengar petua lama, tapi jangan sampai anak tak selesa.
"Basuh rambut akan buat anak happy, tidur pun lena," katanya.


