SEORANG ibu muda berdepan detik cemas apabila terpaksa melahirkan bayi di tepi jalan berhampiran lampu isyarat Taman Bukit Dahlia di Johor Bahru, Johor pada Ahad lalu.
Wanita itu dan suaminya dikatakan sedang menunggang motosikal sebelum dia tiba-tiba terasa sakit untuk bersalin, dalamkejadian sekitar pukul 2 petang.
Dia kemudian terus turun dari motosikal dan berbaring di tepi lampu isyarat kerana menahan sakit dengan proses bersalin dibantu pengguna jalan raya yang berada di situ.
Kejadian itu dikongsi pengguna TikTok [Tonton Video] yang merakam untuk pengesahan kerana orang ramai menyangka berlaku kejadian kemalangan.
"Saya bersama seorang kakak India dan beberapa yang lain membantu menyambut kelahiran seorang bayi di bahu tepi jalan.
"Terima kasih semua, korang memang hebat bagi tuala, baju, tudung," tulisnya.
Terdapat juga situasi isteri terpaksa bersalin di rumah dengan diuruskan suami.-Gambar hiasan
Situasi yang dialami ibu muda itu bukanlah jarang-jarang berlaku kerana sebelum ini terdapat banyak kes wanita yang tiba-tiba bersalin termasuklah dalam kereta, tepi jalan dan dalam pesawat.
Sekiranya anda berdepan situasi berkenaan, beberapa langkah boleh diambil bagi memastikan keselamatan ibu dan bayi.
1. Hubungi bantuan perubatan segera
- Telefon 999 atau talian kecemasan tempatan.
- Beritahu lokasi tepat, keadaan ibu, dan bahawa proses kelahiran sedang berlaku atau sudah berlaku.
- Jika ada, minta seseorang yang mahir sama ada jururawat, bidan atau paramedik untuk datang membantu.
2. Sediakan kawasan bersih
- Gunakan tuala bersih, kain, atau cadar untuk alas tempat ibu bersalin.
- Pastikan tangan dicuci bersih atau guna sarung tangan jika ada.
3. Beri sokongan semasa bersalin
- Bantu ibu duduk atau baring dalam posisi selesa contohnya separa baring dengan lutut dibengkokkan.
- Tenangkan ibu dan beri galakan untuk bernafas dalam-dalam.
- Jangan cuba tarik bayi keluar; biarkan ia lahir secara semula jadi.
4. Selepas bayi lahir
- Segera lap bayi dengan tuala bersih, terutama kepala dan badan untuk elakkan kehilangan haba.
- Letak bayi di dada ibu 'skin-to-skin' dan selimutkan mereka berdua bersama.
- Pastikan bayi bernafas, jika tidak menangis atau bernafas, gosok lembut belakang atau tapak kakinya untuk rangsangan.
- Jangan potong tali pusat kecuali ada peralatan bersih dan anda terlatih melakukannya.
5. Urus uri
- Uri biasanya keluar sendiri selepas beberapa minit hingga setengah jam.
- Jangan paksa keluar, biarkan ia berlaku secara semula jadi.
6. Bawa ke hospital segera
- Walaupun kelahiran berjalan lancar, ibu dan bayi perlu pemeriksaan perubatan segera untuk pastikan tiada komplikasi seperti pendarahan, jangkitan atau masalah pernafasan.


