suria

Wanita amal pemakanan sihat, diet ketat sedar sesuatu selepas disahkan hidap kanser tahap 4

Seorang wanita mendedahkan dia menghidap kanser walaupun mengamalkan pemakanan sihat.

SEORANG wanita berusia 29 tahun yang mengamalkan diet bersih dan sihat secara konsisten terkejut apabila disahkan menghidap kanser kolorektal tahap empat.

Dalam perkongsian di Instagram pada 30 Julai lalu, Monika Choudhary mendedahkan bahawa faktor seperti tekanan kerja, keletihan melampau dan gaya hidup sedentari (kurang pergerakan) mungkin menjadi punca kepada penyakitnya.

Situasi ini sekali gus menjadi peringatan bahawa pemakanan sihat sahaja tidak mencukupi untuk mengelak masalah kesihatan serius.

Monika, yang sebelum ini dikenali sebagai seorang yang fokus terhadap kesihatan, mengakui dia jarang mengambil makanan bergoreng atau berminyak. 

Namun, sejak membangunkan laman sesawang, dia tidak sedar kehidupannya mula berubah dengan banyak masa dihabiskan terhadap kerja-kerja berkenaan.

Jam kerja yang panjang, tempoh melihat skrin yang berlebihan, tarikh akhir yang mendesak serta tekanan berterusan sedikit demi sedikit menjejaskan kesihatan fizikal dan mentalnya.

Pemakanan sihat sahaja tidak mencukupi, perlu seiring dengan gaya hidup yang sihat. -Gambar hiasan

Monika turut menceritakan bagaimana kehidupannya yang dahulu aktif termasuk larian setiap petang sebagai rutin harian berubah kepada satu gaya hidup kurang bergerak dan jarang keluar rumah. 

Walaupun menyedari tubuhnya mula memberi isyarat seperti cepat letih, rasa tidak selesa dan tidak bermaya, dia mengabaikannya kerana menganggap ia hanya kesan tekanan kerja atau kurang tidur.

Segalanya berubah apabila dia disahkan menghidap kanser tahap empat, satu berita yang disifatkannya sebagai kejutan besar.

Monika kini menyedari penyakit itu bukan semata-mata nasib malang, sebaliknya akibat terkumpul daripada tekanan berpanjangan, keletihan melampau dan pengabaian kesihatan diri.

“Saya belajar dengan cara yang paling sukar bahawa tiada cita-cita yang berbaloi untuk mengorbankan kesihatan.

"Tubuh kita sentiasa ‘mencatat’ segala yang kita lakukan, dan suatu hari nanti ia akan menuntut perhatian, sama ada kita mahu atau tidak,” katanya menutup perkongsian.

 

Artikel Lain