SEORANG bapa berkongsi maklumat berguna selepas anaknya yang masih di sekolah rendah menjadi mangsa buli pelajar tingkatan tiga, beberapa minggu lalu.
Menurut Huzaimar Yahya, ramai ibu bapa menyangka laporan polis sudah memadai, sedangkan masih ada beberapa langkah penting yang perlu dibuat agar kes dapat disiasat secara menyeluruh.
“Kes buli biar sampai ke CIC (Child Interview Centre). Baru pelaku dapat diheret ke muka pengadilan.
"Saya sendiri baru tahu selepas berurusan dua hari lalu. Bahagian anak saya sudah selesai, jadi saya nak kongsi dengan semua ibu bapa lain,” katanya.
Perkongsian Huzaimar itu dibuat di Facebook dan kemudiannya turut dikongsi oleh warga maya di Threads.
Huzaimar turut menyenaraikan empat langkah penting yang perlu dilakukan segera pada hari kejadian.
1. Dapatkan rakaman CCTV
– Minta pihak sekolah atau lokasi simpan rakaman dan jangan dipadam.
2. Buat laporan polis
– Secepat mungkin selepas kejadian.
3. Bawa anak ke hospital kerajaan
– Dapatkan laporan perubatan (ct-scan, X-ray, ukuran lebam)
4. Jumpa pegawai penyiasat (IO)
– Ceritakan secara terperinci apa yang berlaku.
CIC diperkenalkan di Malaysia melalui kerjasama PDRM dengan pakar antarabangsa dari United Kingdom.
Dia menasihati ibu bapa membuat laporan polis serta membawa anak ke hospital dengan segera kerana kesan kecederaan akibat buli masih ada pada masa tersebut.
Selepas itu, ibu bapa perlu ke CIC untuk proses lanjut termasuk rakaman keterangan mangsa, yang penting sebagai bukti di mahkamah, selain sesi kaunseling untuk mangsa dan ibu bapa yang turut mengalami trauma.
“CIC ini bukan saja untuk kes buli, malah juga kes dera bayi. Dengan bukti rakaman CIC, kita boleh bawa pelaku ke muka pengadilan.
"Sayangilah anak-anak kita, moga tiada lagi mangsa seterusnya. Kita bukan hanya lindung anak kita, tapi juga anak orang lain,” katanya lagi.
Huzaimar turut menasihatkan ibu bapa agar kembali berjumpa pegawai penyiasat selepas beberapa minggu untuk bertanya perkembangan kes dan tindakan yang diambil terhadap pelaku.
“Semoga ada keadilan buat anak saya, juga semua mangsa buli. Aku benci pembuli,” ujarnya.


