WALAU diberi kelonggaran, rata-rata wanita hamil sering meletakkan harapan tinggi dapat menunaikan ibadah puasa sepenuhnya sepanjang Ramadan.
Namun, kesihatan ibu dan anak dalam kandungan seharusnya menjadi keutamaan sebelum membuat sebarang keputusan yang boleh mendatangkan implikasi buruk.
Mengikut Mazhab Syafie, sekiranya berpuasa dibimbangi akan memudaratkan ibu atau bayi atau kedua-duanya, wanita itu diwajibkan berbuka dan puasa itu boleh diganti pada kemudian hari.
Menerusi perkongsian di TikTok, pakar sakit puan, Dr Faizan Irdawaty menjelaskan empat tanda bahaya yang perlu diperhatikan dan memerlukan wanita mengandung untuk berbuka puasa.
Masalah dehidrasi sering dihadapi ibu hamil yang berpuasa. -Gambar hiasan
1. Kekurangan air (dehirasi)
Sudahlah ketika bersahur tidak minum air dalam kuantiti yang banyak, ditambah dengan cuaca panas sehingga membuatkan tekak ibu hamil menjadi sangat kering.
Tahap dehidrasi juga boleh dilihat pada kepekatan urin (air kencing), sekiranya warna urin pekat menandakan badan mereka tidak cukup air.
Jika berdepan situasi ini, mereka perlu segera berbuka puasa kerana boleh membayakan ibu dan anak dalam kandungan.
2. Hypoglycemia
Ia merupakan keadaan apabila badan mengalami kekurangan gula yang berpunca daripada gangguan selera makan dihadapi oleh ibu hamil.
Kebiasaannya gejala hypoglycemia berlaku pada waktu petang apabila mereka menunjukkan simptom penat, kelesuan, pening sehingga menggigil.
Lebih parah, ada kes melibatkan ibu yang menghidap diabetes tiba-tiba sahaja tidak sedarkan diri kerana kadar gula sangat rendah dalam badan.
3. Bayi kurang bergerak
Sekiranya ibu mendapati kandungan mereka kurang atau tiada pergerakan, itu merupakan petanda tidak baik maka ibu perlu segera berbuka.
Ini kerana keadaan dehidrasi yang dialami memberi kesan kepada bayi dalam kandungan bahkan boleh membayakan nyawa mereka.
Bukan itu sahaja, ibu juga perlu segera ke hospital untuk melakukan pemerikasaan jika tanda-tanda sedemikian berlaku.
4.Kontraksi awal
Sekiranya ibu mengalami kontraksi menyakitkan ketika kandungan masih belum cukup bulan, ia mungkin petanda badan sedang kekurangan air.
Apabila badan mengalami dehidrasi, kepekatan urin semakin tinggi sehingga meningkatkan risiko mengalami jangkitan pada saluran kencing.
Ia mencetuskan rasa sakit seperti ingin bersalin dan boleh menyebabkan kelahiran pramatang atau lebih awal dari sepatutnya.